PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia bersedia untuk menghubungi semua pemimpin negara Islam melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), bagi mengutuk tindakan biadab rejim Israel yang terus mencabuli hak asasi manusia antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau sendiri akan mengambil inisiatif untuk menghubungi Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan serta pemimpin negara Islam lain, berhubung perkara tersebut.
“Kalau perlu, saya akan hubungi Emir Qatar, termasuk beberapa pemimpin Islam lain, Erdogan dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan beberapa (pemimpin Islam) yang lain, kerana kebiadapan Israel itu amat keterlaluan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-9 2025 (ICOSH 2025) di sini, hari ini.
Anwar mengulas insiden terbaharu semalam apabila Israel melancarkan serangan udara di Doha, Qatar, menyasarkan kepimpinan politik Hamas yang dipercayai bermesyuarat mengenai cadangan gencatan senjata Gaza yang disokong Amerika Syarikat.
Serangan di kawasan Leqtaifiya itu, melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Israel, menyebabkan enam orang terkorban termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman, serta Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Prof Dr Kadaruddin Aiyub.
Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH) kesembilan itu membawa tema “Hubungan Kemanusiaan dalam Era Kecerdasan Buatan dan Teknologi”, dengan memberi tumpuan kepada pelbagai bidang termasuk kerja sosial, psikologi, linguistik, kesusasteraan, komunikasi, keselamatan, budaya, politik, agama, kajian digital, ekonomi dan lain-lain.
Menerusi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM memperkukuh usaha bersama untuk memperdalam kefahaman, meluaskan kerjasama serta mempertingkatkan tindak balas terhadap isu-isu sosial global yang semakin kompleks.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial