KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Fitch Ratings menyemak naik unjuran pertumbuhan global bagi 2025 kepada 2.4 peratus daripada 2.2 peratus sebelum ini susulan data suku kedua lebih kukuh berbanding jangkaan awal.
Namun, pada masa sama, agensi penarafan itu memberi amaran data-data utama sebenar ekonomi Amerika Syarikat (AS) memaparkan tanda-tanda lemah manakala kejutan positif dalam pertumbuhan zon euro pula sebahagiannya didorong oleh syarikat-syarikat yang bertindak mempercepatkan aktiviti masing-masing bagi mengelak tarif AS.
Dalam Tinjauan Ekonomi Global bagi September 2025, Fitch berkata unjuran terbaharu itu masih kekal di bawah paras pengembangan sebanyak 2.9 peratus yang dicatat pada 2024.
Unjuran pertumbuhan China bagi 2025 telah dinaikkan kepada 4.7 peratus daripada 4.2 peratus, zon euro kepada 1.1 peratus daripada 0.8 peratus manakala AS kepada 1.6 peratus daripada 1.5 peratus.
Ketua Ahli Ekonomi Fitch Ratings Brian Coulton berkata walaupun kejelasan terhadap dasar tarif AS meredakan sedikit ketidaktentuan, namun skala kenaikan tarif itu masih menjadi halangan utama.
“Kejelasan kenaikan tarif AS (terbukti) tidak mengubah realiti yang ini amat besar dan menjejaskan pertumbuhan global.
“Bukti kelembapan ekonomi AS pula jelas dalam data sebenar dan bukannya dalam tinjauan sentimen,” katanya.
Fitch juga menyifatkan data akaun negara AS menunjukkan kejutan tarif itu sebahagiannya telah diserap dalam bentuk tekanan ke atas keuntungan korporat, namun pelepasan ke atas harga dijangka terus ketara pada lewat tahun ini.
Susulan itu, katanya, peningkatan inflasi dijangka mengekang pertumbuhan gaji sebenar dan mengasak perbelanjaan pengguna yang sememangnya susut ketara pada 2025.
Pada masa sama, penciptaan pekerjaan juga memaparkan tanda-tanda kelemahan dengan sebahagiannya akibat dasar imigresen lebih ketat yang mengurangkan pertumbuhan tenaga kerja, kata Fitch.
Walaupun defisit fiskal yang meluas sewajarnya menyokong permintaan pada 2026, Fitch menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal di bawah aliran pada 1.6 peratus tahun depan.
China menyaksikan eksport kekal kukuh walaupun berdepan kejutan tarif, disokong oleh kadar pertukaran efektif yang lebih lemah serta penurunan harga eksport yang mengalihkan jualan ke pasaran luar negara.
Aspek fiskal yang lebih longgar membantu menyokong pertumbuhan, namun permintaan domestik swasta semakin lemah dan risiko deflasi semakin ketara.
Fitch berkata bagi Eropah, eksport dijangka tidak berupaya mengekalkan momentum pantas seperti separuh pertama tahun ini dan pemulihan pengguna yang kian suram menyebabkan KDNK dijangka tidak berkembang pada separuh kedua 2025.
“Pelonggaran fiskal di Jerman misalnya akan menyediakan lebih sokongan pada tahun depan,” katanya.
Bagi kemajuan masa depan, Fitch menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan menurunkan kadar faedah sebanyak dua kali sebelum akhir tahun ini dan seterusnya tiga kali lagi pada 2026 ketika Bank Pusat Eropah dijangka tidak akan melonggarkan dasar monetari pada tempoh seterusnya.
Fitch berkata hasil bon 30 tahun kerajaan di AS, United Kingdom, Jerman dan Jepun pula masih kekal di bawah unjuran meningkat yang berkemungkinan memaparkan kebimbangan terhadap aspek bekalan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial