AM

ASEAN Perlu Perkukuh Kesediaan Nuklear Seiring Kemajuan Dunia

09/09/2025 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- ASEAN perlu memastikan ia memiliki keupayaan teknikal, kesediaan kawal selia dan rangkaian kerjasama bagi mengendalikan semua jenis reaktor nuklear secara selamat serta berkesan seiring dengan kemajuan teknologi nuklear dunia.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin menegaskan kesediaan sedemikian amat penting memandangkan tenaga nuklear semakin diiktiraf di seluruh dunia sebagai pilihan utama bagi tenaga bersih dan mitigasi perubahan iklim.

Beliau berkata dalam kalangan negara anggota ASEAN, ada negara sedang meneroka tenaga nuklear sebagai sebahagian strategi tenaga jangka panjang, manakala ada juga negara yang telah menggunakannya dalam perubatan, pertanian, industri dan perlindungan alam sekitar.

“Kemajuan teknologi nuklear, termasuk pelbagai reka bentuk dan pendekatan reaktor kecil bermodul  (SMR) dengan ciri keselamatan inovatif kini mengubah landskap nuklear pada peringkat global.

Network on Nuclear Power Safety Research (NPSR) ditubuhkan dengan tujuan itu; menyediakan platform kerjasama, pembinaan kapasiti dan penyelidikan bersama supaya ASEAN dapat bergerak maju secara selamat, bertanggungjawab dan bersedia sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Tahunan ASEAN NPSR kelapan di sini semalam, anjuran Nuklear Malaysia bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025. 

Muhammad Rawi berkata mesyuarat berkenaan menampilkan syarahan khas oleh pakar terkemuka dari China, Jepun dan Persekutuan Rusia.

“Pandangan mereka mengenai penyelidikan keselamatan nuklear, pembangunan SMR dan amalan terbaik antarabangsa akan memperkaya perbincangan kita serta merintis laluan baharu kerjasama ASEAN,” katanya.

Beliau berkata selaku Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia komited untuk memperkukuh ketahanan serantau dan mempertingkatkan kerjasama saintifik melalui Agensi Nuklear Malaysia.

“Komitmen berterusan kami adalah untuk memajukan aplikasi sains dan teknologi nuklear, daripada mengendalikan Reaktor Penyelidikan TRIGA PUSPATI sejak lebih empat dekad sehingga menerajui program latihan serantau di bawah IAEA dan RCA.

“Malaysia telah menyumbang secara aktif dalam keselamatan nuklear, pembangunan kapasiti dan kerjasama penyelidikan,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan Nuklear Malaysia, buat julung-julung kalinya Malaysia menjadi tuan rumah kepada mesyuarat tahunan yang dimulakan pada 2017 dan juga selaras dengan dasar penggiliran dalam kalangan negara-negara ASEAN.

NPSR berlangsung tiga hari bermula semalam di sebuah hotel di ibu negara, melibatkan 27 peserta dari Indonesia, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam, termasuk tuan rumah Malaysia dan bakal rakan ASEAN yang baharu, iaitu Timor Leste.

Mesyuarat tahunan itu menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, pembuat dasar dan jurutera untuk membincangkan kemajuan terkini, berkongsi amalan terbaik dan mengukuhkan kerjasama dalam bidang keselamatan tenaga nuklear.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan