AM

AMMTC: ASEAN Perkukuh Kerjasama Tangani Jenayah Rentas Sempadan - Saifuddin Nasution

09/09/2025 08:38 PM

MELAKA, 9 Sept (Bernama) -- Negara anggota ASEAN komited memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan melalui perkongsian pengalaman dan pembentangan isu utama pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di sini esok.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mesyuarat itu akan menampilkan pembentangan daripada negara anggota ASEAN berhubung pelbagai cabaran keselamatan semasa.

“Sebagai contoh, Malaysia akan membentangkan isu penyeludupan manusia, Singapura mengenai jenayah siber manakala Vietnam menyentuh isu pelarian,"  katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian AMMTC ke-19 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta delegasi negara anggota ASEAN.

Saifuddin Nasution berkata mesyuarat lima hari itu antara lain memberi fokus kepada laporan dan perkembangan terkini sebelum perbincangan lanjut diadakan bagi mencapai persetujuan terhadap pelan tindakan yang akan dimuktamadkan pada hari terakhir.

Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan beliau turut disertai ASEAN+3 iaitu rakan dialog China, Jepun dan Korea Selatan bagi memperkukuh kerjasama serantau.

“Ini penting kerana menangani jenayah rentas sempadan bukan hanya tanggungjawab 10 negara ASEAN tetapi juga memerlukan sokongan China, Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

Melaka kini menjadi tumpuan rantau ini apabila menteri dan pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam keselamatan serta pembanterasan jenayah rentas sempadan berhimpun dari 8 hingga 12 Sept bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.

Program itu diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan komitmen Malaysia membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan