Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Sesetengah pihak mungkin berpendapat pelaburan diluluskan yang dilaporkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan angka pelaburan langsung asing (FDI) daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi Separuh Pertama 2025 kelihatan bercanggah.
Hakikatnya, jumlah RM190.3 bilion pelaburan diluluskan Malaysia dan RM1.6 bilion FDI yang direkodkan pada suku kedua 2025 adalah saling melengkapi, kerana ia mewakili peringkat berbeza dalam usaha pelaburan yang dilaksanakan negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif FSG Corporate dan Ahli Majlis Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia Dr Anthony Dass.
"Kelulusan MIDA mencerminkan komitmen atas kertas. Ini adalah projek yang telah dikemukakan oleh pelabur berdasarkan cadangan mereka, disemak oleh pihak berkuasa, dan diluluskan untuk memulakan pelaburan.
"Sementara aliran masuk FDI kasar yang dilaporkan DoSM, mengukur wang sebenar yang mengalir ke dalam negara. Ini termasuk suntikan ekuiti, pendapatan dilabur semula, dan pinjaman antara syarikat," katanya kepada Bernama.
Dass juga berkata aliran masuk bersih FDI malah mencapai pencapaian yang lebih baik lagi kerana ia mengurangkan aliran keluar seperti penghantaran balik keuntungan dan pembayaran balik pinjaman.
Kelulusan: Aliran Kasar berbanding Aliran Bersih
Beliau berkata kelulusan pelaburan adalah lebih wajar dibandingkan dengan aliran masuk kasar, kerana kedua-duanya mengukur "permulaan" pelaburan - wang yang dijanjikan berbanding wang sebenar yang masuk.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, sebagai contoh, pada separuh pertama 2025, Malaysia mencatatkan pelaburan asing yang diluluskan berjumlah RM106.8 bilion dan aliran masuk kasar sebanyak RM148.9 bilion.
Ini menunjukkan bahawa pelaburan yang diluluskan sememangnya diterjemahkan kepada aliran masuk modal sebenar, walaupun mungkin terdapat perbezaan dalam masa dan skala.
Dass berkata membandingkan kelulusan pelaburan dengan aliran masuk bersih, bagaimanapun, adalah dua kisah yang berbeza, yang menggambarkan jumlah wang yang akhirnya disimpan oleh Malaysia selepas mengambil kira aliran keluar.
"Dalam tempoh yang sama, aliran masuk bersih hanya RM17.2 bilion. Ini tidak bermakna kelulusan adalah 'salah' atau 'kosong', tetapi ia menunjukkan bagaimana penghantaran balik keuntungan dan pembayaran balik hutang mengurangkan jumlah wang yang kekal disimpan di negara ini," katanya.
Dass menjelaskan kelulusan dan aliran masuk pelaburan jarang sepadan disebabkan oleh empat faktor utama, iaitu sela masa, penghantaran balik keuntungan, turun naik suku tahunan dan skop yang berbeza.
Beliau menegaskan kelulusan MIDA bukan sekadar statistik kerana ia mewakili projek pada peringkat yang berbeza, terutamanya operasi (syarikat logistik - yang pertama kali diumumkan sebagai projek yang diluluskan, kemudahan itu beroperasi sepenuhnya);semasa dalam proses (hab automasi - sedang dibangunkan);dan baru bermula (syarikat produk elektrik dan elektronik (E&E) - ketika ini beralih daripada kelulusan kertas kepada pelaksanaan fizikal, dengan modal mula mengalir).
“Itulah sebabnya mengapa angka FDI suku tahunan DOSM mungkin kelihatan sederhana sedangkan projek besar makin bertambah,” katanya.
Mengekalkan Lebih Banyak FDI di Malaysia
Dass berkata Malaysia boleh meraih lebih banyak nilai dengan menggalakkan pelaburan semula pendapatan dengan kredit cukai dan insentif serta memperdalam rantaian bekalan tempatan agar syarikat multinasional boleh mendapatkan lebih banyak sumber daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.
Selain itu, katanya, negara juga perlu mengukuhkan pasaran modal domestik untuk membolehkan firma mengumpul dana dalam negara dan tidak bergantung kepada pinjaman luar negara.
“Lebih banyak nilai boleh diperoleh dengan membangunkan kumpulan bakat tempatan yang lebih padu untuk mengurangkan pergantungan kepada ekspatriat dan kiriman wang yang berkaitan; serta memastikan dasar dan jelas dan stabil, yang menggalakkan syarikat mengekalkan keuntungan dalam negara,” katanya.
Sebagai kesimpulan, beliau berkata kelulusan pelaburan menunjukkan keyakinan pelabur; aliran masuk kasar menandakan kemasukan modal sebenar manakala aliran masuk bersih adalah apa yang akhirnya diperoleh Malaysia.
“Secara bersama-sama, angka ini memberikan gambaran lengkap: hasrat, kemasukan modal sebenar dan nilai yang dijana.
“Dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada menarik kelulusan tetapi juga pada mengekalkan lebih banyak nilai melalui pelaburan semula, rantaian bekalan yang lebih kukuh dan pembangunan bakat tempatan, Malaysia boleh memastikan kelulusan kukuh hari ini diterjemahkan kepada pertumbuhan yang lebih mampan dan berimpak tinggi pada masa hadapan,” kata Dass.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial