KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Projek Ekonomi MADANI yang diperkenalkan khusus untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka mampu menghasilkan tanaman mencecah sembilan tan setahun dengan nilai pendapatan sehingga RM604,000 dalam tempoh 30 bulan akan datang.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek itu yang membabitkan keluarga anggota ATM di 90 kem seluruh negara akan dilaksanakan secara berfasa.
“Pada peringkat awal, projek ini dijalankan secara percubaan untuk melihat sama ada isteri anggota (Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) berminat dan ternyata permintaannya tinggi serta kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi menjayakannya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.
Beliau berkata bagi projek madu kelulut, Boustead Plantations Berhad akan menanggung separuh daripada kos pembinaan rumah kelulut manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan.
“Projek ini dimulakan dengan 22 kem dan akan diperluaskan secara berfasa sehingga melibatkan 90 kem dalam tempoh dua tahun setengah,” katanya.
Mohamed Khaled berkata hasil tuaian projek itu akan dibeli oleh anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Plantations, untuk diproses kepada produk bernilai tambah yang memberi pulangan kepada warga ATM.
Selain madu kelulut, projek tanaman herba juga diperkenalkan melibatkan tanaman seperti pandan, serai dan ulam raja.
“Apabila keseluruhan ekosistem sudah tersedia, barulah sesuai untuk dilaksanakan di kem lain,” katanya.
Menurutnya, setakat ini Kem Mahkota Kluang merupakan antara lokasi terawal yang mula mengeluarkan hasil dan memberi pendapatan sederhana kepada kira-kira 20 keluarga yang terlibat.
Berpotensi menjadi lebih lumayan pada masa depan, beliau berharap inisiatif itu dapat membuka peluang kepada warga ATM untuk turut serta dalam aktiviti ekonomi yang dirangka kerajaan supaya kem tentera tidak tercicir daripada menerima manfaatnya.
“Program ini juga merupakan satu usaha ke arah menyumbang kepada keterjaminan makanan dalam negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial