AM

PMR Kedah Catat 127,535 Pengunjung

06/09/2025 09:51 PM

BALING, 6 Sept (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) Kedah melabuhkan tirainya hari ini, dengan mencatatkan kehadiran 127,535 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.

Pada hari pertama PMR yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling di sini Khamis lepas, sebanyak 29,560 pengunjung direkodkan hadir memeriahkan program itu, manakala hari berikutnya mencatatkan 41,954 pengunjung.

Hari terakhir program bertemakan ‘Rakyat Prihatin, Negara Aman, Masa Depan Terjamin’ itu menyaksikan 56,021 pengunjung hadir, menjadikan keseluruhannya 127,535 orang.

Pengunjung PMR Kedah Adam Raismaini Mahadir, 15, berkata dia sangat teruja apabila berpeluang menghadiri program yang padat dengan pengisian bersesuaian dengan jiwa rakyat setempat itu.

“Aktiviti yang paling menarik perhatian saya adalah di reruai Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dapat melihat pelbagai kelengkapan serta ada macam-macam maklumat berkaitan keselamatan.

“Ini kali pertama saya berpeluang melihat dan memegang sendiri senjata api sebenar yang dipamerkan di sini, mulanya saya sangka ia palsu. Saya sangat berminat nak jadi polis,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Azri Iskandar Abdul Muiz, 15, pula berkata dia serta rakan-rakannya datang bersama rombongan sekolah sejak awal pagi tadi untuk menyaksikan pelbagai pameran menarik.

“Ini kali pertama saya datang ke program seperti ini, memang rasa seronok dan teruja sangat. Banyak ilmu dan pengalaman baharu saya dapat, harapan saya agar ada lagi program seperti ini untuk penduduk di kawasan pedalaman seperti ini,” katanya.

Pelbagai program menarik dijayakan sepanjang PMR kali ini termasuk reruai perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan negeri, Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI, diskaun saman trafik polis, perkhidmatan kesihatan, tawaran peluang pekerjaan serta program pertukaran topi keledar secara percuma.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai jenis benih pokok, melakukan pertukaran minyak enjin motosikal serta mendapatkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma.

Program ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membawa perkhidmatan terus kepada rakyat melalui pendekatan lebih dekat, mesra dan inklusif. 

Acara kemuncak PMR adalah majlis penutupan yang berlangsung tengah hari tadi, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan