Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka kekal diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan menaik sedikit pada minggu depan ketika para pelabur menunggu pemangkin baharu untuk menentukan hala tuju pasaran.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan indeks petunjuk pasaran itu mengekalkan trend tidak berubahnya dengan kecenderungan menaik sederhana sehingga pemacu baharu muncul.
"Kami menjangkakan indeks itu bergerak dalam jajaran 1,570–1,600 mata pada minggu depan, menunjukkan tahap sokongan dan rintangannya," katanya kepada Bernama.
Thong berkata indeks petunjuk pasaran itu bergerak antara paras 1,570 dan 1,580 mata pada minggu yang baru berakhir ini berikutan ketiadaan pemangkin baharu manakala aliran keluar asing yang berterusan mengehadkan momentum menaik.
Minggu depan, peserta pasaran akan menunggu pengumuman data ekonomi baharu, termasuk indeks pengeluaran perindustrian dan nilai jualan pembuatan Malaysia, manakala di Amerika Syarikat, pengumuman data utama termasuklah indeks harga pengguna, indeks harga pengeluar dan tuntutan pengangguran awal.
Bagi asas mingguan, FBM KLCI meningkat 3.03 mata kepada 1,578.15 pada Khamis daripada 1,575.12 pada Jumaat minggu sebelumnya.
Pasaran ditutup pada Jumaat minggu ini sempena cuti umum Hari Maulidur Rasul.
Indeks FBM Emas naik 12.40 mata kepada 11,715.29, Indeks FBMT 100 meningkat 9.59 mata kepada 11,715.29, dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 26.44 mata kepada 11,484.16. Indeks FBM ACE menokok 16.71 mata kepada 4,738.73 manakala Indeks FBM 70 susut 41.53 mata kepada 16,434.71.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 3.42 mata kepada 18,114.44, Indeks Perladangan menokok 9.98 mata kepada 7,604.43, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 0.77 mata kepada 162.99, dan Indeks Tenaga meningkat 3.40 mata kepada 743.62.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 7.92 bilion unit bernilai RM7.89 bilion daripada 16.30 bilion unit bernilai RM18.65 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama mingguan merosot kepada 4.39 bilion unit bernilai RM7.17 bilion daripada 9.45 bilion unit bernilai RM17.28 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 2.44 bilion unit bernilai RM359.34 juta daripada 4.74 bilion unit bernilai RM642.47 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 1.07 bilion unit bernilai RM362.01 juta, daripada 2.11 bilion unit bernilai RM721.77 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial