DUNIA

Ringgit Dijangka Kukuh Minggu Depan Susulan Peningkatan Jangkaan Penurunan Kadar

06/09/2025 10:17 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Ringgit dijangka meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan selepas data gaji bukan ladang (NFP) AS yang dikeluarkan lebih rendah daripada jangkaan, sekali gus meningkatkan harapan terhadap penurunan kadar faedah di negara itu bulan ini.

Data NFP AS mencatatkan hanya 22,000 pekerjaan baharu pada Ogos berbanding unjuran konsensus sebanyak 75,000, manakala kadar pengangguran meningkat kepada 4.3 peratus daripada 4.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perkembangan itu menunjukkan pasaran buruh AS semakin lemah, sekali gus mendorong Rizab Persekutuan (Fed) untuk memberi tumpuan kepada usaha menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Sehubungan itu, kebarangkalian untuk berlaku penurunan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 16-17 Sept semakin meningkat.

“Lebih penting lagi, Fed perlu membuktikan bahawa mereka mampu mengurus keadaan, terutama apabila pentadbiran AS pada masa ini mencabar kebebasan dasar monetari mereka,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata gandingan dolar AS-ringgit dijangka berada dalam julat antara RM4.20 hingga RM4.22 minggu depan.

Bagi asas mingguan, ringgit menutup minggu ini lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.2260/2320 daripada 4.2230/2275 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu bagaimanapun diniagakan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8489/8531 daripada 2.8708/8741 pada minggu sebelumnya, naik berbanding pound Britain kepada 5.6793/6874 daripada 5.6833/6894, dan meningkat berbanding euro kepada 4.9203/9273 daripada 4.9291/9343.

Mata wang itu diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN, kecuali berbanding dolar Singapura apabila meningkat kepada 3.2775/2824 daripada 3.2859/2899 pada akhir minggu lepas.

Ia susut berbanding baht Thailand kepada 13.0666/0908 daripada 13.0327/0519 pada minggu sebelumnya, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 257.3/257.7 daripada 255.9/256.3, dan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.40/7.42 daripada 7.39/7.40.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan