JENAYAH & MAHKAMAH

Peserta Acara Kayuhan Maut Kemalangan Dengan Kereta Di Langkawi

06/09/2025 06:06 PM

ALOR SETAR, 6 Sept (Bernama) -- Seorang peserta acara kayuhan berbasikal maut apabila terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Muda, Langkawi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa Low Beng Seng, 28, dari Langkawi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Beliau berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan kira-kira 8.45 pagi.

“Siasatan awal mendapati, mangsa sedang berkayuh dengan beberapa pelumba kelompok belakang dalam acara kayuhan sejauh 68 kilometer (km).

“Tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai cuba mengelak daripada bergesel dengan pelumba lain mengakibatkannya tercampak ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu wanita berusia 26 tahun, datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular satu di media sosial video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian kemalangan tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan