KUCHING, 5 Sept (Bernama) -- Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) hari ini mengumumkan Kuching telah dimasukkan sebagai destinasi kelapan di bawah program Bonus Side Trip (BST) Malaysia Airlines yang merupakan satu-satunya destinasi di Borneo tersenarai dalam inisiatif berkenaan.
Dalam satu kenyataan, STB berkata program BST yang ditawarkan khas oleh Malaysia Airlines membolehkan pelancong antarabangsa yang terbang ke Malaysia menggunakan tiket antarabangsa menambah satu destinasi domestik tanpa bayaran tambang tambahan dan hanya perlu membayar cukai berkaitan.
“Kemasukan Kuching dalam program BST Malaysia Airlines mencerminkan kerjasama kukuh yang telah kami bina dengan Malaysia Aviation Group sejak menandatangani Memorandum Persefahaman pada 2024,” kata Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Salleh.
Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan bagaimana kerjasama dengan syarikat penerbangan nasional dapat membuka peluang sebenar untuk Sarawak, dengan memudahkan pelancong antarabangsa memasukkan negeri itu dalam perjalanan mereka.
“Melalui inisiatif ini, Sarawak sedang memperluas capaian antarabangsa dan mengukuhkan komitmennya terhadap pertumbuhan pelancongan mampan sambil kita bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambahnya.
STB berkata penyertaan Kuching dalam program itu meletakkan Sarawak sebagai pintu masuk utama ke Borneo dengan menonjolkan kekayaan budaya, keindahan alam semula jadi, keunikan gastronomi dan festival bertaraf antarabangsa seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF).
Sempena MATTA Fair Kuala Lumpur yang bermula hari ini hingga 7 Sept, Sarawak turut mengetengahkan tarikannya melalui 19 pempamer, persembahan kebudayaan, demonstrasi secara langsung dan tawaran pelancongan eksklusif di pavilionnya di MITEC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial