AM

Pasar Pagi Sungai Bayor Diiktiraf Pasar Pagi Terpanjang Di Malaysia

05/09/2025 07:02 PM

IPOH, 5 Sept (Bernama) -- Pasar Pagi Sungai Bayor, Selama mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pasar pagi terpanjang di negara ini iaitu 2.32 kilometer (km).

Pengiktirafan itu sekali gus mengatasi rekod terdahulu dipegang Pasar Pagi Temerloh di Pekan Sehari Temerloh, Pahang yang sepanjang 2.1 km, menjadikan Sungai Bayor sebagai mercu tanda baharu kepada landskap pelancongan di daerah tersebut.

Yang Dipertua Majlis Daerah Selama (MDS) Nor Akmal Yang Ghazali berkata kejayaan tersebut merupakan detik bersejarah setelah enam tahun berusaha dengan penuh komited bagi merealisasikan impian itu.

“Dengan pengiktirafan MBOR ini, Pasar Pagi Sungai Bayor bukan sahaja menjadi kebanggaan daerah Selama malah diyakini mampu menarik lebih ramai pengunjung dari luar Perak. 

“Ia adalah hadiah paling berharga sempena sambutan Merdeka kepada warga Selama. Lebih penting, pengiktirafan ini akan melonjakkan nama daerah ini sebagai destinasi wajib dikunjungi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nor Akmal berkata MDS kini mempunyai justifikasi kukuh bagi memohon peruntukan kerajaan dalam menaik taraf infrastruktur asas sedia ada seperti tempat letak kereta dan tandas awam untuk keselesaan pengunjung.

“Saya juga sedang menimbangkan cadangan memperkenalkan elemen bertema seperti busana tradisional secara bulanan atau suku tahunan yang bertujuan menawarkan keunikan dan kepelbagaian kepada pengunjung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan meraih pengiktirafan MBOR itu juga hasil komitmen dan kerjasama padu yang diberikan Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Selama, WK Picture, Nature Eco Adventure serta agensi di peringkat daerah, negeri dan Persekutuan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Selama Mohamad Ezaiyuhan Awang berkata pasar pagi setiap hari Jumaat itu menempatkan hampir 500 peniaga atau penjaja kecil dari sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Mohamad Ezaiyuhan berkata sejak era 1960-an pasar itu pada asalnya dikenali sebagai Pekan Jumaat Sungai Bayor dan terletak di tepi Sungai Bedarah, namun pada tahun lepas ia telah dipindahkan ke Jalan Kampung Sungai Bedarah oleh MDS atas faktor keselamatan serta peningkatan jumlah peniaga dan pengunjung.

“Pasar ini menjadi platform ekonomi rakyat kerana majoriti peniaga menjadikan ia saluran tetap untuk menjual hasil tani. Dengan pengiktirafan ini, kami yakin Pasar Pagi Sungai Bayor akan terus berkembang dan menjadi tarikan pelancong ke Selama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan