ALOR SETAR, 5 Sept (Bernama) -- Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru umat Islam di negeri ini untuk terus memelihara keharmonian dan meneladani Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan.
Baginda bertitah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat memperkukuh jati diri dengan memperkasakan institusi keluarga serta membentuk generasi muda yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia seperti yang dimiliki Nabi Muhammad SAW.
“Beta menyeru agar seluruh rakyat Kedah tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang, hendaklah terus memelihara keharmonian dan saling menghormati antara satu sama lain. Beta juga ingin menegaskan bahawa, keamanan dan perpaduan yang kita kecapi pada hari ini adalah nikmat besar yang wajib disyukuri dan dipertahankan bersama.
“Beta amat menghargai segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam memperkukuh aspek pembangunan ekonomi, pendidikan, kebajikan dan sosial.
“Pembangunan yang bersifat seimbang antara rohani dan jasmani adalah sejajar dengan pendekatan Rasulullah SAW dalam membina masyarakat Madinah yang maju, adil dan berakhlak tinggi,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga hadir pada majlis itu.
Sultan Sallehuddin turut berharap agar sambutan Maulidur Rasul ini menjadi titik kebangkitan semangat baharu dalam kalangan umat Islam untuk kembali kepada nilai-nilai Islam sebenar.
“Peristiwa Maulidur Rasul bukan semata-mata untuk diraikan secara simbolik, tetapi hendaklah dihayati secara menyeluruh, melalui penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasulullah.
”Beta menzahirkan harapan agar seluruh rakyat negeri Kedah, menjadikan Rasulullah sebagai contoh dalam membina peribadi, memimpin keluarga, memacu organisasi, serta membangunkan masyarakat dan negeri. Nilai kejujuran, amanah, kasih sayang, hormat-menghormati, tolak ansur dan keadilan perlu menjadi amalan dalam kehidupan seharian,” titah baginda.
Pada majlis itu, baginda turut menyampaikan Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada Pegawai Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial, Lembaga Zakat Negeri Kedah Mohd Naim Islam Abdullah manakala Tokoh Imam dianugerahkan kepada Imam Masjid Jamek Al-Ikram Kampung Tualang, Yan, Mokhtar Zakaria.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial