AM

Prinsip "Beri Semula Kepada Masyarakat" Jadi Pegangan Tokoh Perdana Abdul Rashid

05/09/2025 01:00 PM

SERDANG, 5 Sept (Bernama) -- Prinsip memberi kembali kepada masyarakat telah lama menjadi pegangan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Perdana pada sambutan Maulidur Rasul SAW 2025/1447H Peringkat Kebangsaan. 

Abdul Rashid, 79, berkata beliau juga sentiasa percaya kepada prinsip bekerja keras dan menegakkan agama selain menegaskan umat Islam perlu sentiasa mencari jalan untuk berkhidmat kepada masyarakat. 

Beliau yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-10 bagi tempoh 2025 hingga 2028 berkata menolak pelbagai tawaran untuk kembali ke sektor korporat selepas bersara, sebaliknya memilih untuk berkhidmat dengan institusi yang dekat dengan kepercayaannya seperti TH dan UIAM. 

“Saya tidak mencari pengiktirafan. Saya terima peranan (dalam TH dan UIAM) kerana ia sebahagian daripada minat dan kepercayaan saya. Jika diizinkan Allah dan dipersetujui kerajaan, saya akan terus melakukan yang terbaik untuk institusi ini,” katanya. 

Tokoh korporat kelahiran Pulau Pinang itu berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah itu pada sambutan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.  

Beliau berharap dapat menunjukkan contoh yang baik bahawa sebagai umat Islam, kita mesti menyumbang kembali kepada masyarakat.

Sementara itu, penerima anugerah bagi kategori Agamawan/Kepimpinan Dakwah Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan dan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan Syeikh Wazir Che Awang memohon kerajaan memberikan lebih perhatian kepada pembangunan sekolah pondok. 

Beliau menyokong penuh hasrat kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah pondok, bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam arus pendidikan perdana, seiring keperluan masa kini.

Sokongan terhadap usaha kerajaan memperkenalkan TVET di sekolah pondok itu juga sebahagian daripada komitmen bersama untuk memperkukuh sistem pendidikan Islam yang relevan dengan tuntutan zaman.

Selain itu, Syeikh Wazir berkata umat Islam tidak sepatutnya dipisahkan oleh politik dan perbezaan fahaman politik perlu diketepikan demi perpaduan ummah.

“Kita fikir ummah wahidah (yang satu). Kita tidak sepatutnya diasingkan oleh politik. Kepentingan kita ialah mengutamakan Islam,” katanya.

Syeikh Wazir juga menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar atas keprihatinan mereka terhadap pembangunan ummah.

Beliau berkata anugerah itu akan menjadi semangat untuk terus menyumbang kepada agama, bangsa dan negara, selaras dengan ajaran Rasulullah SAW.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan