JOHOR BAHRU, 4 Sept (Bernama) -- Ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Singapura tahun ini menjadi medan penting untuk memperkukuh kerjasama dua hala, dengan hubungan rakyat kekal sebagai tunjang utama, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Beliau berkata penekanan kepada aspek hubungan rakyat dengan rakyat atau people-to-people menjadi keutamaan dalam peranannya di republik itu kerana ia memberi kesan langsung kepada kebajikan pekerja Malaysia yang berulang-alik setiap hari.
Katanya, antara usaha yang dilaksanakan termasuk penambahbaikan urusan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, yang telah memberi impak besar kepada golongan pekerja bersempadan.
“Dulu kita lihat ada yang perlu bertolak seawal pukul tiga atau empat pagi dari rumah di Johor untuk bekerja di Singapura. Namun, hasil penambahbaikan di kompleks pemeriksaan, mereka kini tidak perlu lagi bergerak seawal itu.
“Sekarang, bertolak pada pukul lima atau enam pagi pun masih sempat tiba. Inisiatif kecil ini diharapkan dapat memberi lebih banyak masa berkualiti untuk pekerja bersama keluarga,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan van jenazah antara Muslim Care Malaysia dan 1 Third Media Movement di Masjid Al-Jawahir, di sini, hari ini.
Azfar berkata kerjasama dalam aspek kebajikan rakyat turut diperkukuh melalui penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain tumpuan kepada bidang ekonomi yang terus menjadi pemacu hubungan dua hala.
Mengulas lanjut, beliau berkata ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik ini menjadi peluang penting untuk memperkukuh kerjasama strategik, antaranya melalui pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“JS-SEZ ini diberi perhatian oleh banyak pihak. Malah, banyak pelabur telah menunjukkan minat untuk datang melabur di kedua-dua negara. Usaha ini adalah untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Singapura, di Malaysia, di Johor.
“Dengan itu, mereka yang kini bekerja di Singapura mungkin boleh beralih bekerja di Johor, sekali gus menikmati lebih masa berkualiti bersama keluarga,” katanya.
Beliau menegaskan, ulang tahun ini bukan sahaja meraikan sejarah panjang hubungan diplomatik Malaysia-Singapura, malah membuka ruang baharu untuk memperkukuh kerjasama masa depan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial