JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Tahan Dua Bot Digunakan Untuk Penggambaran Di Laut

04/09/2025 01:37 PM

KUALA TERENGGANU, 4 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan dua bot bersama sebuah platform terapung yang digunakan untuk aktiviti penggambaran berhampiran Pulau Bidong, kira-kira 6 petang semalam.

Turut ditahan enam kru bot untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan manakala enam lagi penumpang termasuk seorang pempengaruh media sosial yang berumur antara 21 hingga 32 tahun dibebaskan serta-merta.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata bot berkenaan ditahan dalam Operasi Iman pada kedudukan 16 batu nautika Barat Laut Kuala Terengganu.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot penumpang digunakan untuk menunda platform terapung bersama sebuah kereta mewah di atasnya, manakala sebuah lagi bot mengiringi aktiviti penundaan berkenaan.

"Platform yang dibina tanpa peralatan keselamatan dan digunakan di laut boleh menyebabkan risiko keselamatan. Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa kru, penumpang serta komuniti maritim atau pengguna perairan yang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamiludin berkata pemeriksaan juga mendapati bot yang mengiringi aktiviti penundaan berkenaan beroperasi tanpa lesen yang sah.

Kesemua bot, kru dan penumpang katanya telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu kira-kira 2 pagi tadi untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran.

"Maritim Malaysia sentiasa menyokong aktiviti pelancongan dan kreativiti anak muda, tetapi mesti dilakukan mengikut peraturan sedia ada bagi menjamin keselamatan nyawa dan kelestarian sektor maritim negara," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan