Di pesisir laut Tuaran, di tengah-tengah gulungan ombak yang mara perlahan ke pantai, Sulaiman Amat, 46, seorang nelayan tradisional dari Kampung Laya-Laya di sini, gigih mencari hasil laut saban hari demi menyara keluarganya.
Namun, dunia di pantai barat Sabah yang dikenalinya sejak kecil itu semakin berubah. Dulu, ketika dia mula mengikut ayah ke laut pada usia 12 tahun, rezeki begitu murah. Bagaimanapun dewasa ini, lelaki B40 tersebut berasa kian perit dalam memastikan dapur terus berasap untuk isteri dan tiga anak mereka yang masing-masing berusia lapan, 13 dan 15 tahun.
"Dulu kerang, ketam, ikan semuanya banyak di depan mata. Sekali turun ke laut, lebih RM100 tidak lari (terjamin). Tetapi sekarang laut ini amat berbeza... mahu dapat RM100 pun susah," kongsi Sulaiman dengan penulis yang dapat menyaksikan sendiri realiti itu selama tinggal di sini sejak lima tahun lepas.
Tuaran yang terletak 34 kilometer di utara Kota Kinabalu dikenali dengan hasil laut yang melimpah-ruah, namun sejak tahun-tahun belakangan ini pendapatan nelayan pantai khususnya, kian terjejas dek tangkapan semakin berkurang.
Keadaan itu memaksa nelayan tradisional seperti Sulaiman berlayar lebih jauh ke tengah laut, bererti cabaran besar kepada nelayan sepertinya yang mempunyai kekangan peralatan menangkap ikan. Bagi meningkatkan hasil tangkapan, Sulaiman malah membawa anak sulungnya ke laut ketika cuti sekolah.
FENOMENA GLOBAL
Fenomena kemerosotan sumber marin ini bukan unik kepada perairan Sabah semata-mata, tetapi isu global yang menghantui komuniti nelayan seluruh dunia. Tanpa pendekatan mampan, hasil laut terus berkurangan dan nelayan tradisional seperti Sulaiman akan terus terpinggir dan kekal dalam kitaran kemiskinan.
Data Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menunjukkan pendaratan hasil laut negara merosot secara konsisten dengan statistik terkini merekodkan 1.38 juta tan metrik pada 2020, turun kepada 1.32 juta tan (2021), 1.31 juta tan metrik (2022) dan turun mendadak kepada 1.27 juta tan metrik pada 2023.
pic-2
Di Sabah pula, hasil pendaratan tidak konsisten dengan 206,703 tan metrik pada 2020, meningkat kepada 216,319 tan metrik pada tahun berikutnya, meningkat lagi kepada 230,171 tan metrik pada 2022 sebelum kembali menurun pada tahun menyusul dengan 212,787 tan metrik.
Bagaimanapun, Sabah memiliki potensi ekonomi biru tiada tandingan, dengan sektor perikanan mampu menghasilkan 491,000 tan metrik hasil laut bernilai RM3.5 bilion setiap tahun, menurut Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor,
Namun jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, justeru kerajaan Sabah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan sumber laut kekal mampan, dan pada masa sama memberi talian hayat kepada nelayan serta penduduk setempat seperti Sulaiman bagi meningkatkan sosioekonomi setelah sekian lama menari dengan ombak dan pasang surut kehidupan.
KEBUN KERANG
Satu daripada inisiatif itu ialah Projek Kebun Kerang Sabah yang bukan sekadar memperkenalkan kaedah akuakultur moden, tetapi membuka peluang baharu buat nelayan tradisional untuk beralih kepada penternakan kerang secara sistematik dan mampan.
Melalui kaedah penternakan kerang secara terkawal, tekanan terhadap stok kerang liar dapat dikurangkan selain kerang dihasilkan pula lebih berkualiti, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang kepada penduduk sambil mengekalkan kelestarian sumber marin untuk generasi akan datang.
pic-3
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Datuk Seri Hashim Paijan menjelaskan kaedah konvensional menuai kerang liar secara berlebihan boleh menyebabkan spesies kerang darah atau Tegillarca granosa berdepan kepupusan.
"Kalau kita biarkan kerang hidup liar dan orang menuai secara biasa, lama-kelamaan kerang ini akan berkurangan dan seterusnya menjejaskan bekalan kerang serta hidup nelayan kita.
"Jadi, kita gabungkan semua kepakaran untuk hasilkan benih kerang bermutu, kemudian ternak kerang itu tanpa bergantung pada sumber liar. Kaedah ini memastikan kerang dapat dipelihara secara mampan dan berterusan," katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Projek kebun kerang bukan sesuatu yang asing di negara ini. Pada 2020, pihak berkuasa melancarkan Kebun Kerang Lekir di Perak yang mengeluarkan 1,202 tan metrik benih kerang pada tahun sama, iaitu tertinggi setakat ini.
Pada tahun berikutnya, projek itu merekodkan pengeluaran 499 tan metrik kerang bernilai RM11.5 juta dan 322 tan metrik bernilai RM3.7 juta pada 2022. Selain Perak, negeri lain yang menjalankan projek serupa ialah Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.
Justeru, Hashim bertekad untuk membawa projek tersebut ke Negeri di Bawah Bayu menerusi projek rintis Kebun Kerang Sabah di Tuaran dan Beluran, masing-masing dengan 12 dan 65 lot kawasan penternakan.
Hajiji pada 5 Julai lepas merasmikan projek rintis di Tuaran yang dijalankan di Kampung Pulau Simpangan sebagai sebahagian daripada pembangunan ekonomi biru negeri ini.
“Setiap lot pula diusahakan 10 peserta. Kita jangka nelayan tempatan berpeluang memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM3,000 hingga RM6,000 bergantung pada kerang dihasilkan. Namun angka itu jauh lebih tinggi dan stabil berbanding pendapatan mereka sekarang,” katanya.
BANTU B40
Hashim berkata nelayan dan penduduk setempat seperti Sulaiman daripada kelompok B40 yang tersenarai dalam eKasih, merupakan kumpulan sasar untuk ditawarkan menjadi peserta Kebun Kerang Sabah itu.
Pemilihan peserta akan dilakukan melalui agensi-agensi tertentu dan mereka juga akan diberi latihan khusus dalam teknik penternakan kerang serta aspek lain seperti pengurusan perniagaan agar mereka berupaya kekal komited kepada projek.
"Kita mahu peserta ini bukan sahaja memastikan sumber kerang yang mampan, tetapi mereka sendiri juga tahan lasak dan tidak mudah menyerah kalau menghadapi cabaran. Bila sudah benih kerang ditabur di lot, pengusaha perlu menjaganya seperti menjaga emas di dasar laut," tegasnya.
Hashim membandingkan cabaran penternakan kerang dengan penanaman rumpai laut yang memerlukan ketahanan fizikal tinggi kerana terdedah kepada cuaca panas dan keadaan laut yang tidak menentu.
"Ini bukan kerja senang, seperti penanaman rumpai laut yang memerlukan berendam di laut dengan muka pun kadang-kadang tak dikenali kerana terlalu lama terdedah kepada cahaya matahari," tambahnya.
Kelebihan projek ini ialah kerang tidak perlu diberi makanan tambahan dan peserta hanya perlu menjaga kawasan penternakan daripada kecurian serta memantau ancaman penyakit seperti rebak merah atau red tide (rebakan alga merah) yang boleh menjejaskan pengeluaran.
SEDIA dan rakan kerjasama, antaranya Jabatan Perikanan juga telah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk penternakan kerang di mana air tidak tercemar dan persekitarannya membolehkan kerang membiak dengan subur, seterusnya menjamin hasil yang optimum bagi peserta projek.
KERANG TEMPATAN
Bagi menjayakan projek tersebut, DOF membawa teknologi pembenihan aruhan kerang yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Pulau Sayak ke Sabah, dan menurut Ketua Unit Moluska institut itu Dr Hadzley Harith, Borneo mempunyai keunikan fauna tersendiri, justeru menggunakan benih kerang dari tapak projek berjaya seperti Kebun Kerang Lekir bukan satu langkah berkesan.
Sebaliknya kata beliau, pasukannya mencari benih kerang terbaik di Sabah agar serasi dengan persekitaran tempatan, khususnya dari segi plankton dan arus laut.
pic-4
"Kita menggunakan spesies tempatan, maksudnya kerang yang ada di Sabah. Kita temukan kerang ini di Tawau, spesies yang sama dan kita akan lakukan pembenihan di sini (Tuaran) menggunakan teknologi pembenihan,” jelas beliau yang bertanggungjawab menghasilkan teknologi pembenihan aruhan kerang itu bersama-sama dengan pasukannya.
Mereka juga menggunakan kaedah saintifik bagi memastikan induk kerang tidak terjejas semasa dalam perjalanan dari Tawau yang memakan masa 10 jam.
“Kerang tersebut tiba dalam keadaan segar dan setelah dimasukkan ke dalam tangki dengan lumpur dan air (laut) Tuaran, kerang-kerang itu hidup, terbuka mulut dan bergerak, menunjukkan ia telah mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
"Bila kita faham ciri-ciri atau habitat kerang itu sendiri, kita boleh cari di mana lokasi yang tepat dan boleh membangunkan kebun kerang yang baik," jelasnya, menambah mereka juga menggunakan teknologi pengurusan ladang kerang yang dihasilkan oleh institut tersebut bagi memastikan tumbesaran pantas.
TEMPOH TUAIAN SINGKAT
Menurut Hadzley, kebanyakan lokasi kerang terletak di pantai, dan oleh sebab hidupan itu makan dengan cara menapis air ia tidak dapat makan semasa air surut, bermakna waktu makannya terbatas kerana keadaan air pasang surut berlaku dua kali sehari.
"Teknologi yang kita bawa dari Semenanjung ke Sabah ini bertujuan memberi manfaat kepada rakyat Sabah. Sebelum ini, di Selangor misalnya, ternakan kerang mengambil masa sekitar 16 bulan hingga dua tahun untuk membesarkan benih dari saiz empat milimeter (mm) ke 25 mm.
"Setelah kajian terperinci dan saintifik dilakukan, kami mengenal pasti keperluan lokasi di mana air dan makanan sentiasa ada supaya kerang boleh makan berterusan. Dengan kaedah ini, tempoh ternakan dan tuaian dapat dikurangkan daripada dua tahun kepada hanya enam bulan," katanya.
Beliau menambah kerang saiz biasa 25 mm sudah boleh dituai selepas enam bulan, dan saiz premium sekitar 33 mm dicapai pada bulan ke-10. Teknologi yang dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) ini telah dibuktikan berjaya di beberapa lokasi ternakan.
"Ini bukan lagi sekadar projek rintis, tetapi telah menjadi teknologi yang kami bangunkan dalam RMK12," ujarnya.
Hadzley berkata kedua-dua teknologi yang dibangunkan untuk kerang itu akan memberi manfaat besar kepada industri akuakultur negara, khususnya bagi pengusaha di Sabah yang kini berpeluang menternak kerang secara lebih efisien dan menguntungkan.
Merujuk Kebun Kerang Lekir, beliau berkata projek itu mengeluarkan kerang sebanyak 11.23 tan metrik sehektar pada tahun lalu bersamaan dengan hampir 238 tan metrik setahun untuk satu lot bersaiz 21 hektar, sekali gus menjamin pendapatan lumayan buat peserta.
BENIH KERANG
Sehubungan itu, beliau yakin Tuaran akan menjadi antara pusat utama pengeluaran benih kerang di Sabah selain Beluran, dalam usaha membangunkan industri ternakan kerang yang mampan di negeri berkenaan.
Tiga daerah lain, iaitu Tawau, Beaufort dan Kota Marudu, turut dikenal pasti mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai lokasi ternakan kerang menggunakan teknologi sama.
"Pembenihan ini dilakukan di lapangan, bukan di makmal. Setakat ini, Malaysia sahaja yang mampu melakukan pembenihan kerang secara aruhan berskala besar di lapangan.
“Untuk rekod, Jabatan Perikanan telah menghasilkan lebih 4,000 tan metrik benih kerang di Teluk Lekir hingga kini," katanya.
Mengulas lanjut projek kebun kerang itu, beliau berkata peserta akan menjual separuh daripada benih yang terhasil, sementara separuh lagi disimpan untuk dimasukkan ke dalam lot ternakan mereka.
“Pada masa ini, harga pasaran di ladang mencecah RM10 sekilogram, sementara di pasar pula mencapai RM18 per kg. Jika pengusaha mampu menjual pada harga RM15 sekilogram, itu sudah dikira berpatutan namun masih menguntungkan," jelasnya.
Selain ternakan, pihak berkuasa juga merancang untuk membangunkan industri hiliran di Sabah melibatkan pemprosesan kerang dan kaedah pemasaran yang lebih efisien.
PROJEK RINTIS
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Dr Shuhadah Mustapha berkata Tuaran dipilih sebagai lokasi projek rintis Kebun Kerang Sabah kerana lokasi tersebut mempunyai kesesuaian yang tinggi berdasarkan analisis saintifik.
"Berdasarkan analisis yang telah dijalankan oleh kedua-dua pihak iaitu DOF dan Jabatan Perikanan Sabah, kawasan tersebut sangat sesuai kerana mempunyai kepadatan plankton yang tinggi, iaitu makanan utama kerang-kerangan.
“Kepadatan plankton tinggi disebabkan kawasan itu menjadi titik pertembungan beberapa arus yang membawa pelbagai mineral dan nutrien dari tempat lain, sekali gus menyokong pembiakan plankton,” katanya, menambah persekitaran sedemikian sesuai untuk semua jenis kerang-kerangan.
Ketika ditemui Bernama pada perasmian projek perintis itu, Hajiji yang berasal dari Kampung Serusup berhampiran, menegaskan beliau mahu membantu penduduk di kawasan berkenaan menikmati perubahan sosioekonomi.
“Kita mahu bantu rakyat kita sendiri, kerana itu kita buat projek ini,” katanya.
Beliau menjelaskan menerusi pelan pembangunan ekonomi biru negeri itu, industri kerang di Sabah berpotensi menjana pendapatan sebanyak RM34.4 juta setahun berdasarkan anggaran pendaratan 3,240 tan metrik setahun dan pulangan pelaburan kira-kira tujuh kali ganda.
Seperti kerang yang membuka kulitnya untuk menyerap kehidupan di sekitarnya, projek ini membuka pintu peluang kepada penduduk setempat untuk merangkul masa depan yang lebih baik, lebih lestari.
Di sinilah, di antara butiran pasir dan deburan ombak, satu revolusi senyap sedang berlaku - satu bukti bahawa kadangkala jawapan terbaik untuk masa depan untuk penduduk di sini tersembunyi tepat di depan mata, di dalam cangkerang yang dipanggil kerang.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial