EKONOMI

IPG Diaktifkan Di Sabah, Sarawak Bagi Ogos 2025

03/09/2025 11:38 AM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk getah cuplump (sekerap) dan lateks telah diaktifkan di Sabah dan Sarawak bagi Ogos 2025.

Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam kenyataan hari ini, kadar IPG getah cuplump di Sabah sebanyak 35 sen sekilogram untuk 50 peratus kandungan getah kering (KGK) dan 70 sen sekilogram untuk 100 peratus KGK manakala kadar di Sarawak sebanyak 40 sen sekilogram (50 peratus KGK) dan 80 sen sekilogram (100 peratus KGK).

Katanya kadar IPG lateks di Sabah dan Sarawak pula sebanyak 90 sen sekilogram (100 peratus KGK).

“Untuk makluman, IPG getah cuplump dan lateks tidak teraktif di Semenanjung Malaysia bagi Ogos 2025. Oleh itu, tiada pembayaran IPG akan dilakukan bagi bulan tersebut,” katanya.

Menurut LGM, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah cuplump berada di bawah paras RM3.00 sekilogram.

“IPG lateks juga akan teraktif apabila IPG getah cuplump teraktif. Kadar IPG lateks ditetapkan pada RM0.90 sekilogram bagi 100 peratus KGK,” katanya.

Katanya IPG ini akan dibayar kepada pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Pada Ogos 2025, katanya harga purata peringkat ladang bagi getah cuplump sebanyak RM3.00 sekilogram untuk Semenanjung, RM2.65 sekilogram (Sabah) dan RM2.60 sekilogram (Sarawak). 

Katanya pekebun kecil getah di Sabah dan Sarawak layak menerima bayaran IPG mulai 1 hingga 30 Sept 2025 berdasarkan pengeluaran getah pada Ogos 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan