JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Cuba Dekati Sultan Nazrin Dirujuk Ke Hospital Bahagia

03/09/2025 09:24 PM

IPOH, 3 Sept (Bernama) -- Wanita tempatan yang cuba mendekati Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan untuk pemantauan lanjut.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata wanita berusia 41 tahun itu dihantar ke hospital berkenaan mengikut peruntukan Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615), selepas remannya berakhir hari ini.

“Siasatan kes ini telah selesai dijalankan dan kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak dan akan dimajukan ke Pejabat Peguam Negara, Putrajaya pada 4 Sept (esok) bagi mendapatkan arahan serta keputusan lanjut.

“Sebarang perkembangan lanjut berhubung keputusan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat kerana  boleh mengganggu proses siasatan dan menggugat ketenteraman awam.

Pada 31 Ogos lepas, wanita yang mempunyai rekod rawatan psikiatri dan rekod lampau berkaitan dadah itu ditahan polis ketika cuba mendekati Sultan Nazrin di atas pentas utama ketika lagu kebesaran negeri Perak berkumandang. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan