AM

BHEUU Anjur Siri Jerayawara Seluruh Negara Dapatkan Maklum Balas Penubuhan Tribunal Anti-Buli - Fahmi

03/09/2025 04:47 PM

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) akan mengadakan siri jerayawara ke seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung cadangan penubuhan Tribunal Anti-Buli.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata inisiatif itu bertujuan mengumpul pandangan awam serta pihak berkepentingan untuk menambah baik proses, undang-undang, dan mekanisme yang melibatkan tribunal tersebut.

“(Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri) Azalina (Othman Said) telah menyatakan dalam Mesyuarat Kabinet bahawa beliau akan melaksanakan jerayawara, sesi pertemuan atau town hall dengan pelbagai pihak bermula di Kuala Lumpur, dan seterusnya menjelajah ke setiap negeri untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai serta pihak berkepentingan mengenai tribunal anti-buli yang dimaksudkan.

"Maklumat terperinci termasuk lokasi, waktu dan cara untuk terlibat akan disusuli oleh pejabat Datuk Seri Azalina," katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi berkata, dalam Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Azalina turut memaklumkan Jemaah Menteri mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli semalam, yang disertai ketua-ketua setiausaha, ketua pengarah, dan wakil pelbagai kementerian serta agensi berkaitan, bagi membincangkan usaha termasuk ke arah penubuhan Tribunal Anti-Buli.

“Antara perkara yang dibangkitkan ialah cadangan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), agar tribunal ini dihadkan kepada kes melibatkan individu berusia bawah 18 tahun. Tapi ini baru sekadar cadangan awal.

“Beliau (Azalina) memaklumkan bahawa siri mesyuarat akan diteruskan minggu hadapan bagi meneliti aspek-aspek berkaitan perancangan pelaksanaan Tribunal Anti-Buli,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan