AM

Penghargaan SARA: Kerajaan Pertingkat Pemantauan, Pastikan Stok Barangan Cukup - Fahmi

03/09/2025 05:11 PM

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan mempertingkatkan pemantauan bagi memastikan stok barangan keperluan asas mencukupi untuk menebus Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memaklumkan bahawa stok barangan di pasaran setakat ini adalah mencukupi.

“Pihak KPDN tidak memaklumkan sebarang masalah berkaitan bekalan. Pemantauan akan ditingkatkan bagi memastikan tiada isu timbul dari segi stok atau bekalan barangan keperluan asas,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Penghargaan SARA sebanyak RM100 secara sekali bayar kepada setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad telah mula disalurkan sejak 31 Ogos lalu dan boleh ditebus di lebih 7,000 premis sehingga 31 Dis 2025.

Bantuan itu memberi manfaat kepada kira-kira 22 juta penduduk dengan peruntukan berjumlah RM2 bilion.

Fahmi berkata Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut dimaklumkan bahawa sebanyak RM192.4 juta telah ditebus sehingga tengah malam tadi melalui pembelian barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA.

“Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, turut memaklumkan bahawa pihak kementerian akan menasihatkan lebih 7,000 premis untuk memaklumkan kepada pengunjung supaya menyemak beberapa perkara sebelum menebus kredit Penghargaan SARA,” katanya.

Fahmi turut menepis dakwaan segelintir pihak yang mempertikaikan kaedah penebusan kredit menggunakan MyKad dengan menegaskan bahawa kaedah itu bertujuan memastikan bantuan dimanfaatkan khusus untuk pembelian barangan keperluan asas sahaja.

“RM100 ini dimaksudkan untuk membantu isi rumah membeli barangan keperluan asas. Inilah mekanisme untuk memastikan dana yang disalurkan mencapai tujuan program,” katanya.

Ditanya mengenai gangguan sistem semasa menggunakan MyKad yang menyebabkan orang ramai meninggalkan barangan di kaunter, Fahmi menasihatkan rakyat supaya tidak terburu-buru membelanjakan bantuan kerana tempoh penebusan masih panjang sehingga 31 Dis.

“Tempohnya masih panjang. Kita boleh atur masa tertentu yang kurang sesak dan pergi ke premis-premis berdekatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan