RM27 JUTA SUDAH DITEBUS DI BAWAH INISIATIF BAUCAR BUKU MADANI SETAKAT 1 SEPT - KPT
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Sebanyak RM27 juta daripada keseluruhan peruntukan RM50 juta bagi inisiatif Baucar Buku MADANI bernilai RM100 kepada pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) telah dibelanjakan setakat 1 Sept lepas, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata baucar buku yang dilancarkan pada 28 Ogos lepas dan mendapat sambutan hangat, mencerminkan keperluan sebenar dalam kalangan mahasiswa termasuk pelajar separuh masa.
“Memang ada pandangan bahawa nilai RM100 itu agak rendah, dan kementerian telah mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya nilainya berbeza mengikut tahap pengajian seperti ijazah, sarjana dan PhD,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff mengenai sama ada kerajaan berhasrat menambah nilai baucar berkenaan.
-- BERNAMA
KERAJAAN LULUS 1,175 PROJEK PEMBANGUNAN SEMULA SEKOLAH DAIF SEJAK 2016
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan telah meluluskan sebanyak 1,175 projek pembangunan semula bangunan daif sekolah di seluruh negara dengan kos RM12.477 bilion bagi tempoh 2016 hingga Ogos 2025.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata daripada jumlah itu, 756 projek telah siap, 197 sedang dalam fasa bina, manakala 222 lagi di peringkat prabina.
“Bagi Sarawak, kerajaan meluluskan 390 projek dengan kos RM3.847 bilion, melibatkan 265 projek siap, 60 dalam fasa bina dan 65 di fasa prabina,” katanya menjawab soalan Senator Pele Peter Tinggom di Dewan Negara hari ini.
-- BERNAMA
4,240 USAHAWAN DESA MANFAAT PROGRAM PENDIGITALAN SEHINGGA OGOS 2025
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Seramai 4,240 usahawan desa telah mendapat manfaat daripada Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) setakat Ogos 2025, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Beliau berkata PPU dilaksanakan untuk memperkukuh agenda pendigitalan luar bandar melalui latihan praktikal yang merangkumi 12 modul e-dagang termasuk pengurusan kewangan digital, logistik, pemasaran dan akses internet, dengan kerjasama institusi perbankan, syarikat fintech serta penyedia platform digital.
“Selain PPU, KKDW turut melaksanakan On-Bonding Desa Mall sejak 2019 bagi memasarkan produk desa di platform e-dagang, yang membantu 7,128 usahawan dengan pendapatan terkumpul RM1.29 juta, serta latihan ICT di Pusat Komuniti Desa (PKD) sebagai hab pembangunan usahawan berteknologi tinggi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Menjawab pertanyaan Senator Micheal Mujah Lihan, Rubiah berkata KKDW melalui agensinya juga melaksanakan pelbagai program termasuk Biznet Work Fiesta bersama TikTok yang sehingga Ogos lepas memberi manfaat kepada 13,080 usahawan dengan peruntukan RM8.64 juta.
-- BERNAMA
136 KES SALAH LAKU SEKSUAL DI INSTITUSI TAHFIZ DIREKODKAN SEJAK 2020
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Sebanyak 136 kes salah laku seksual membabitkan institusi tahfiz dan sekolah agama direkodkan di seluruh negara dari 2020 hingga Jun 2025, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata kerajaan memandang serius isu itu dan melaksanakan beberapa langkah tegas termasuk pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memperluas perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pelbagai bentuk penderaan, termasuk berkaitan teknologi dan siber.
“Kerajaan juga menubuhkan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di seluruh negara bagi memastikan kes membabitkan mangsa kanak-kanak didengar secara lebih sensitif dan dipercepatkan proses perbicaraan. JKM turut diperkasa dengan penambahan pegawai terlatih bagi mengesan tanda awal penderaan,” katanya menjawab soalan Senator Tuan Baharuddin Ahmad di Dewan Negara hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial