Di Long Busang, sebuah kampung terpencil yang terletak di Kapit, bahagian pedalaman Sarawak, penggunaan teknologi dalam pertanian masih lagi asing.
Justeru, tidak menghairankan jika Cooplay Nyipa Ali pada awalnya berasa sangsi perkongsian ilmu yang hendak dilakukan itu akan “masuk ke telinga” penduduk. Telahannya tersasar, kerana penduduk yang terdiri daripada kaum Kenyah Badeng itu bukan sekadar memberi respons positif tetapi turut menunjukkan minat mendalam terhadap ilmu yang dicurahkan.
Soalan demi soalan terus dikemukakan oleh penduduk kepada Cooplay, 58, meskipun masa yang diperuntukkan untuk sesi perkongsian itu telah lama tamat.
“Sudah masuk waktu makan tengah hari. Nak saya teruskan?” soalnya. “Teruskan,” jawab penduduk hampir serentak.
Cooplay ialah seorang daripada penceramah dalam Program Digital ke Long Busang anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) baru-baru ini, yang bertujuan memperkasa komuniti pedalaman dengan ilmu dan kemahiran digital, sekali gus menggalakkan penyertaan mereka dalam ekonomi digital dan memanfaatkan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.
Long Busang terletak hampir 400 kilometer dari bandar Sibu dengan perjalanan darat mengambil masa kira-kira lapan jam. Petempatan itu dihuni oleh kira-kira 1,400 penduduk dengan kebanyakan mereka bekerja sebagai petani, mengusahakan tanaman seperti sayur-sayuran serta buah-buahan.
“Saya tahu sektor pertanian amat dekat di hati penduduk di sini kerana mereka telah mempraktikkannya sejak turun-temurun, tetapi saya kagum kerana mereka bersedia untuk mempelajari teknologi baharu dalam bidang pertanian,” kata Cooplay kepada Bernama.
DULU JURUTERA KINI “GURU” PERTANIAN PINTAR
Cooplay merupakan lulusan kejuruteraan awam daripada Universiti Malaya, namun bidang pertanian telah sebati dalam dirinya memandangkan keluarganya terlibat dalam sektor itu sejak beberapa generasi terdahulu.
Setelah tamat pengajian pada 1994, beliau bekerja sekejap di sebuah kilang kelapa sawit di pekan kelahirannya Saratok sebelum menyertai sebuah syarikat minyak dan gas di Bintulu. Tamat kontrak di situ, beliau bekerja sebagai jurutera awam - juga secara kontrak - di sebuah syarikat infrastruktur dan terlibat dalam beberapa projek pembinaan pelabuhan dan jambatan di Sarawak, sebelum ditawarkan menyertai program pertanian pintar sebagai peserta perintis projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi di Kuching pada 2017.
pic-2
Sejak itu beliau terbabit secara serius dalam bidang pertanian.
Sewaktu dalam bimbingan di TKPM, beliau didedahkan kepada pendekatan baharu dalam amalan pertanian termasuk penggunaan teknologi Internet benda (IoT) dan sistem fertigasi pintar dengan tumpuan pada tanaman cili, halia dan tembikai emas.
(TKPM ialah projek pertanian berskala besar dan komersial yang dibangunkan di atas tanah kerajaan negeri atau persekutuan dengan tujuan mewujudkan zon pengeluaran tanaman makanan yang kekal.)
TEKNOLOGI MENGUBAH CARA BERTANI
Cooplay berkata sistem fertigasi pintar melibatkan penggunaan struktur pelindung hujan, penyediaan larutan baja mengikut formula khusus, kawalan kelembapan dan suhu yang disepadukan dengan teknologi IoT.
"Sebagai peserta pertanian pintar, saya tidak perlu berada di TKPM sepenuh masa. Suhu, penggunaan baja, jumlah sumber untuk penanaman dan lain-lain dipantau menerusi sebuah pusat kawalan maklumat di TKPM.
pic-3
"Maklumat dari pusat kawalan ini dapat diakses oleh peserta menerusi komputer peribadi ataupun telefon pintar masing-masing,” kongsinya sambil menambah kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan agak besar untuk infrastruktur tersebut.
Pertanian pintar menawarkan peluang ekonomi sebenar buat belia luar bandar. Menerusi kaedah sistem perlindungan hujan dan penggunaan teknologi terkawal, petani muda boleh menjana pendapatan jauh lebih tinggi berbanding gaji permulaan kebanyakan pekerjaan biasa sekali gus mendorong Cooplay untuk berkongsi ilmu.
HASIL LUMAYAN, PENDAPATAN MENINGKAT
“Sebagai belia, untuk dapat RM6,000 sebulan memang sukar jika hanya bekerja makan gaji. Tapi, dengan pertanian pintar, hasilnya jauh lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 1,000 pokok cili yang ditanam dalam sistem rumah pelindung hujan mampu mengeluarkan hasil kira-kira dua tan metrik dengan harga pasaran RM10 hingga RM12 satu kilogram (kg).
“Jadi, petani boleh menjana lebih RM20,000 dalam satu musim (anggaran tiga bulan), dengan kawalan penyakit dan serangga dapat dilakukan dengan baik,” katanya.
Untuk tembikai emas, beliau berkata setiap rumah tanaman dengan 1,500 pokok boleh mengeluarkan hasil hingga 1.2 tan metrik dengan harga pasaran kira-kira RM15/kg, menjana pendapatan kasar RM18,000 untuk setiap tuaian, iaitu sekitar tiga bulan selepas ditanam.
“Bagi tanaman halia, satu rumah tanaman boleh menghasilkan hingga 9,000 kg yang jika dijual pada harga RM10 sekilogram, mampu memberikan pulangan kasar hingga RM90,000 setahun,” katanya.
Bagaimanapun, setiap pekerjaan itu pasti ada cabaran termasuk pertanian pintar, dan menurut Cooplay, satu daripadanya ialah dari segi pemasaran selain peserta perlu mengambil inisiatif sendiri untuk memperluas jaringan pemasaran.
"Walaupun tidak perlu membanting tulang seperti pertanian konvensional, pengamal pertanian pintar perlu komited memantau status tanaman mereka sehingga boleh dituai,” katanya, menambah ada peserta gagal berbuat demikian kerana terikat komitmen lain.
PETANI TRADISIONAL, KAEDAH BAHARU
Kasim Tega, 50, seorang penduduk Long Busan yang menghadiri perkongsian ilmu itu, tidak sabar untuk mempraktikkan pengetahuan yang diperoleh.
"Penerangan Cooplay banyak melibatkan benda baharu serta kaedah yang kami tidak tahu. Saya memperoleh banyak pengetahuan baharu, khususnya dalam menjalankan aktiviti pertanian membabitkan kawasan yang tidak besar tetapi memberi pulangan agak lumayan,” katanya.
Bagi Kelen Belarek, 51, menerusi pertanian pintar dia tidak lagi perlu banyak menggunakan kudrat ataupun berjemur di tengah panas dan dibasahi hujan seperti dulu.
“Yang penting kita mesti pantau tanaman kita dari mula ditanam hingga tiba waktu menuai. Hasilnya pun nampak amat memberangsangkan,” katanya.
Tidak ketinggalan warga emas Dana Bilong, 70, yang kembali bersemangat untuk bertani selepas mendengar tentang pertanian pintar.
“Pada usia saya sekarang, tidak mampu saya hendak membanting tulang di tengah-tengah kebun seperti waktu muda dulu. Sekarang hanya perlu guna telefon pintar dan saya rasa saya masih boleh melakukannya,” ujarnya.
BERKONGSI ILMU TANPA SYARAT
Sebagai perintis dalam bidang pertanian pintar di Sarawak, Cooplay bukan sahaja berjaya mempraktikkan teknologi moden seperti fertigasi dan sistem pemantauan berasaskan IoT, malah tampil selaku pendidik yang komited menyebarkan ilmu kepada masyarakat luar bandar.
Bagi Cooplay, kejayaan dalam bidang pertanian bukan sekadar hasil tuaian, tetapi juga kejayaan menyemai ilmu kepada generasi muda luar bandar.
“Prinsip yang saya pegang ialah pertanian bukan sahaja bergantung pada teknologi untuk maju, tetapi juga keikhlasan dalam berkongsi pengetahuan. Saya dilatih secara percuma oleh kerajaan, jadi saya berpegang pada prinsip bahawa ilmu ini juga perlu disebarkan secara percuma,” tegasnya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial