Daripada Voon Miaw Ping
BEIJING, 2 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai beberapa siri perbincangan strategik dengan kalangan pemimpin industri terkemuka China pada Selasa dalam usaha melonjakkan pelaburan selain meneroka peluang serta kerjasama baharu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, kini berada di ibu negara China sempena lawatan kerja rasmi selama empat hari.
Pada pagi ini, beliau mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi JD.com yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif JD Logistics merangkap Ahli Eksekutif Strategi, Hu Wei.
JD.com yang tersenarai dalam NASDAQ 100 dan syarikat Fortune Global 500, adalah peruncit e-dagang terbesar di China yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 580 juta orang yang membeli-belah di serata China.
Syarikat dipacu teknologi itu mengendalikan infrastruktur penunaian pesanan terbesar di China yang membolehkan 90 peratus pesanan dihantar pada hari sama atau berikutnya.
Selain itu, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan barisan pimpinan Persatuan Industri Semikonduktor China (CSIA) diketuai oleh Pengerusi Chen Nanxiang yang juga Pengerusi Yangtze Memory Technologies.
CSIA adalah sebuah badan induk yang melibatkan syarikat, pakar dan institusi dalam bidang pembuatan, reka bentuk dan pembangunan berkaitan dengan industri semikonduktor.
Turut hadir dalam mesyuarat perniagaan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial