Daripada Voon Miaw Ping
BEIJING, 2 Sept (Bernama) -- Syarikat peruncit e-dagang dan logistik terkemuka China, JD.com menyatakan hasrat untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia terutamanya dalam sektor logistik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya menyambut baik hasrat ini, mengambil kira kedudukan strategik Malaysia yang berpotensi muncul sebagai hab logistik serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata JD.com juga berhasrat membeli lebih banyak produk Malaysia untuk dipasarkan di China.
Terdahulu, Perdana Menteri yang sedang dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke China, mengadakan pertemuan perniagaan dengan pihak pengurusan tertinggi syarikat berkenaan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif JD Logistics merangkap Ahli Eksekutif Strategi, Hu Wei.
JD.com yang tersenarai di NASDAQ 100 dan syarikat Fortune Global 500, adalah peruncit e-dagang terbesar di China yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 580 juta orang yang membeli-belah di serata negara itu.
Syarikat dipacu teknologi itu mengendalikan infrastruktur penunaian pesanan terbesar di China yang membolehkan 90 peratus pesanan dihantar pada hari sama atau berikutnya.
Selesai pertemuan dengan JD.com, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan perbincangan dengan barisan pimpinan Persatuan Industri Semikonduktor China (CSIA) diketuai Pengerusinya Chen Nanxiang.
“Dalam pertemuan ini, saya tegaskan iltizam Malaysia untuk menjadi pemain utama semikonduktor global, seperti yang digariskan dalam Strategi Semikonduktor Nasional (NSS),” kata beliau.
CSIA merupakan badan induk yang menaungi lebih 1,400 syarikat semikonduktor China.
“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Kerajaan MADANI akan terus menarik pelaburan berkualiti, meneroka peluang baharu dan membangunkan sektor strategik demi kemakmuran rakyat dan masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” kata Anwar.
Turut hadir pada mesyuarat perniagaan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial