AM

PTV3.0 Bukti Iltizam Kerajaan MADANI Perkukuh Taraf Hidup Rakyat - PM Anwar

02/09/2025 12:05 PM

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Program Baucar Perlindungan Tenang 3.0 (PTV3.0) mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk menggapai hasrat meningkatkan taraf hidup rakyat seperti termaktub dalam kerangka Ekonomi MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata inisiatif itu memastikan setiap isi rumah mendapat perlindungan sewajarnya, sekali gus membina ketahanan dan mengembalikan maruah masyarakat.

"Melalui PTV3.0, Kerajaan MADANI tekad untuk memperluas akses kepada semua. Seyogia, keterjaminan kesihatan dan keselamatan bukanlah kemewahan yang boleh dirasai oleh sesetengah kelompok sahaja," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) di sini hari ini.

Bermula semalam, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) layak menebus baucar bernilai RM30 yang disubsidi oleh Kerajaan MADANI untuk membantu membiayai sebahagian kos produk insurans dan takaful mampu milik di bawah PTV3.0.

Dengan kerjasama industri insurans dan takaful, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan RM60 juta di bawah Belanjawan 2025 untuk menampung kos produk perlindungan di bawah PTV3.0 bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Menurut MoF, usaha itu melengkapi inisiatif lain seperti Skim Perubatan MADANI dan PeKa B40 bagi memperkukuh jaring keselamatan sosial menerusi kerjasama awam–swasta yang bersasar.

Selaras dengan pendekatan Kerajaan MADANI untuk menyalurkan bantuan yang bersasar dan saksama, MoF akan melaksanakan protokol pengesahan identiti dalam PTV3.0 bagi memastikan permohonan yang sahih dan menepati kelayakan.

Penerima STR boleh menyemak kelayakan dan merujuk Soalan Lazim PTV3.0 melalui www.myptv.my atau mengunjungi mana-mana ejen, pengedar atau premis penyedia yang mengambil bahagian.

Senarai penuh produk yang layak boleh didapati menerusi www.mycoverage.my. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan