Daripada Voon Miaw Ping
TIANJIN, 1 Sept (Bernama) --Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa reformasi segera ke atas struktur tadbir urus global, susulan kegagalan sistem multilateralisme sedia ada yang dilihat tidak mampu menghalang kekejaman serta pencerobohan.
Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya, tidak lagi dilihat mempunyai aspirasi untuk mereformasikan dirinya, malah jurang antara idealisme dan tindakan semakin melebar.
“Antara aspirasi dan realiti wujud bayangan yang membimbangkan, kerana ia menimbulkan jurang dan membenarkan kekejaman dilakukan tanpa tindakan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat +Sidang Kemuncak Organisasi Kerjasama Shanghai (SCO) di sini hari ini.
Sidang kemuncak itu dipengerusikan Presiden China merangkap Pengerusi SCO, Xi Jinping.
Anwar yang menghadiri acara berkenaan buat kali pertama menegaskan krisis kemanusiaan berterusan di Gaza adalah contoh jelas kegagalan institusi global.
Beliau menekankan pembunuhan orang awam berlaku “di depan mata kita sendiri” sementara masyarakat antarabangsa terus dilihat tidak berdaya.
“Bukan sahaja di Gaza dan Palestin, malah turut menjejaskan negara jiran dari Lubnan hingga ke Iran dan Iraq.
“Masyarakat antarabangsa pula seakan tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.
Anwar berkata Malaysia menyokong Inisiatif Tadbir Urus Global oleh China sebagai langkah ke arah mengembalikan keyakinan terhadap multilateralisme.
“Wujud defisit kepercayaan dalam sistem antarabangsa susulan kegagalan dalam perdagangan, seni bina kewangan, menangani perubahan iklim dan pelbagai isu lain.
“Selalu wujud jurang antara apa yang diperkatakan dengan penderitaan rakyat serta tindakan yang tidak seiring dengan idealisme,” katanya.
Menyentuh mengenai SCO, Anwar yang juga Pengerusi ASEAN berkata agenda organisasi Eurasia itu dalam aspek keterhubungan ekonomi, kesihatan awam, keselamatan dan peralihan tenaga adalah selari dengan pendirian Malaysia dan keutamaan ASEAN.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Xi dan China sebagai rakan setia Malaysia serta ASEAN.
Anwar juga menegaskan komitmen Malaysia terhadap prinsip kesederhanaan dan kerjasama, dengan merujuk prinsip Konfusius iaitu ‘Chung Yung’ – keseimbangan dan keadilan berteraskan belas kasihan, kemanusiaan dan undang-undang – sebagai asas multilateralisme.
Acara berprofil tinggi itu dihadiri lebih 20 pemimpin dunia serta 10 ketua organisasi antarabangsa dan serantau.
Antara yang hadir ialah Presiden Rusia, Vladimir Putin; Perdana Menteri India, Narendra Modi; Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Setiausaha Agung PBB, António Guterres; dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Kehadiran Anwar ke sidang kemuncak berkenaan atas jemputan Xi, walaupun Malaysia bukan negara pemerhati atau rakan dialog SCO, menzahirkan hubungan strategik yang semakin mendalam dengan China.
Perdana Menteri yang tiba di sini semalam kini meneruskan bahagian kedua lawatan kerja empat hari beliau ke China, dengan berada di Beijing malam ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial