KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) melaksanakan inisiatif penyegaran jenama menerusi pengenalan logo dan pakaian seragam baharu bagi memastikan pergerakan itu kekal relevan serta berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.
Ketua Pengakap Negara Mej Jen (B) Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata logo baharu tersebut mengekalkan elemen klasik kepengakapan dunia namun diberi sentuhan moden dengan warna serta bentuk melambangkan dinamika generasi muda.
“Logo ini bukan sekadar tanda pengenalan tetapi cerminan aspirasi PPM untuk kekal relevan di mata masyarakat dan dunia antarabangsa,” katanya ketika hadir sebagai tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV baru-baru ini.
Beliau berkata rekaan seragam turut ditukar daripada warna kelabu yang digunakan selama lebih 70 tahun kepada “emerald sea” bagi baju dan “aspen green" bagi seluar, dengan potongan lebih kemas dan fabrik mesra aktiviti luar.
“Warna baharu ini bukan sahaja memberi identiti eksklusif dan profesional, malah mengelakkan penyalahgunaan warna lama yang mempunyai pelbagai tona serta dijual di pasaran gelap.
“Seragam ini juga praktikal dipakai ketika perkhemahan, ekspedisi dan khidmat masyarakat sekali gus menyuntik rasa bangga serta disiplin kepada lebih 600,000 ahli Pengakap di seluruh negara,” katanya.
Mohd Zin berkata penyegaran jenama adalah strategi penting memantapkan imej korporat dan kredibiliti organisasi selain menarik minat generasi muda tanpa mengetepikan nilai tradisi.
Beliau berkata usaha itu turut diinspirasikan oleh langkah Pertubuhan Pengakap Sedunia (WOSM) yang melaksanakan penyegaran jenama secara menyeluruh bagi memperkukuh imej Pengakap sebagai pergerakan belia global terunggul dengan identiti visual lebih moden, berani, inklusif dan mesra digital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial