BATU KAWAN, 28 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Imigresen FC (IFC) Yusri Che Lah mengakui kekalahan 0-3 pasukannya kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Batu Kawan, petang tadi, namun tetap berpuas hati dengan semangat juang anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.
Beliau berkata pasukannya bertahan dengan baik pada awal permainan, tetapi kesilapan pada hujung babak pertama memberikan kelebihan kepada JDT apabila gawang mereka dibolosi pada minit-minit akhir separuh masa.
“Apabila ketinggalan, kita cuba menyekat pihak lawan daripada menjaringkan lebih daripada satu gol dengan melakukan serangan balas, tetapi kegoyahan pasukan telah memberikan ruang kepada JDT untuk menambah dua lagi jaringan di separuh masa kedua.
“Walaupun tewas, kita harus berbangga kerana pemain telah memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang 90 minit,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tamat.
Yusri mengakui tiga jaringan JDT itu bukan gambaran yang diharapkan, lebih-lebih lagi selepas pasukannya menjalani tujuh sesi latihan menjelang pertemuan tersebut, namun realitinya di atas padang berbeza.
Beliau berharap kekalahan itu menjadi pengajaran dan tumpuan kini beralih kepada persiapan menghadapi aksi penting pusingan kedua Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) pada 13 Sept depan.
Sementara itu, pengendali JDT, Xisco Munoz, menyifatkan kemenangan petang tadi sebagai hasil kerja keras anak buahnya yang kekal konsisten walaupun berdepan jadual padat.
“Saya rasa kita ada tiga perkara penting. Ini adalah perlawanan terakhir dalam tempoh 20 hari, dan kita akan bermain enam perlawanan sepanjang tempoh itu.
“Penting untuk kita terus belajar apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu diperbaiki dalam gaya permainan kita,” katanya.
Keputusan tersebut meletakkan Harimau Selatan di takhta liga dan merampas kedudukan itu daripada Kuala Lumpur City (KL) FC dengan mengutip 12 mata daripada empat perlawanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial