SEPANG, 28 Ogos (Bernama) -- Aktiviti “ulat teksi”, merupakan satu perbuatan mengkhianati kepentingan negara dan perlu dibanteras secara bersama, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata masalah itu telah berlarutan lebih 10 tahun tanpa penyelesaian, terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2.
“Masalah ulat ini mencemarkan imej negara. Bayangkan ada pelancong datang dengan niat gembira untuk melancong dan berbelanja di Malaysia, tetapi sebaik keluar daripada lapangan terbang mereka ditipu (ulat) bawa ke KL (Kuala Lumpur) kena potong leher (caj mahal) RM300 ke RM400, sedangkan tidak sampai RM100.
“Mereka marah lalu memuat naik pengalaman itu di media sosial. Akhirnya, imej negara tercemar dan pelancong lain mungkin tidak berani datang ke Malaysia,” katanya dalam majlis pelancaran Tap, Travel and Discover oleh gateway@klia2, di sini hari ini.
Loke berkata beliau telah memberi arahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tangkap mereka yang terlibat termasuk mengenakan saman, sita kenderaan dan dibawa ke mahkamah.
Beliau berkata tindakan tegas itu bukan bertujuan menghalang orang mencari rezeki, tetapi perlu menggunakan cara yang betul.
“Kalau nak jadi pemandu pengangkutan, ambillah lesen. Bukannya susah. Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah banyak memudahkan proses. Sebagai contoh, untuk menjadi pemandu e-panggilan sekarang ini tidak perlu lagi ambil ujian (teori) Lesen Vokasional untuk kenderaan awam (PSV).
“Cukup dengan satu kursus ringkas sudah boleh dapat lesen PSV. Jadi, tiada alasan untuk tidak ikut undang-undang,” katanya.
Loke berkata tanpa sistem pengangkutan yang baik, sektor pelancongan tidak dapat berkembang memandangkan pelancong memerlukan akses yang selesa untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi.
Oleh itu, beliau berkata MOT memberikan sokongan penuh kepada usaha memperkukuh sektor pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 yang merupakan agenda penting negara.
Beliau berkata pengurusan KLIA2 telah menunjukkan kesungguhan dengan memperkenalkan pelbagai sistem baharu antaranya aplikasi tempahan teksi, sistem giliran e-panggilan, serta ruang menunggu yang lebih selesa.
Mengenai pelancaran itu, Tap, Travel and Discover, merupakan satu inisiatif menggabungkan pameran kebudayaan, solusi digital pintar serta kemudahan pengangkutan lebih mesra pelanggan, dilancarkan dengan kerjasama rakan strategik Traveloka, WCT Buddy dan Asia Success Resources Sdn Bhd (TTKLIA).
Ketua Pegawai Eksekutif Asia Success Resources Chuah Ze Pey berkata aplikasi Super TTKLIA yang dilancarkan, menawarkan perkhidmatan penghantaran mampu milik dari Lembah Klang ke KLIA1 dan KLIA2, pembelian tiket tarikan pelancongan dan pakej percutian serta ganjaran ekslusif seperti pulangan tunai dan baucar.
“Pengalaman perjalanan dipertingkatkan lagi dengan pengenalan Teeko, ejen AI TTKLIA. Pembantu pintar ini membantu pengguna merancang itinerari peribadi, mendapatkan maklumat pengangkutan dan meneroka destinasi menarik di seluruh Malaysia,” katanya.
Teeko merupakan rakan perjalanan AI pembantu maya pertama di lapangan terbang Malaysia, berfungsi sebagai pemandu peloncong digital, rakan kulinari dan peneman gaya hidup, cadangan itinerari peribadi, panduan kemudahan pengangkutan dan destinasi pelancongan dalam negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial