WASHINGTON, 28 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Dua kanak-kanak maut dalam insiden tembakan di sebuah gereja di negeri Minnesota, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, menurut Ketua Polis Minneapolis Brian O'Hara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Dua kanak-kanak, masing-masing berusia lapan dan 10 tahun, terbunuh ketika mereka duduk di bangku gereja di Annunciation Catholic School manakala seramai 17 orang lagi termasuk 14 kanak-kanak cedera.
“Dua daripada kanak-kanak itu berada dalam keadaan kritikal,” kata O’Hara kepada pemberita berhampiran lokasi kejadian.
Beliau berkata penyerang berkenaan telah membunuh diri di bahagian belakang gereja dan suspek yang berusia awal 20-an itu bertindak sendirian serta tidak mempunyai rekod jenayah serius yang diketahui.
O’Hara berkata sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan suspek sedang diperiksa dan motif kejadian masih belum diketahui.
Laporan turut menyebut bahawa tiga lagi insiden tembakan berlaku di Minneapolis dalam tempoh 24 jam lalu, mengakibatkan tiga maut dan tujuh yang lain cedera.
Gabenor Tim Walz mengesahkan insiden itu menerusi media sosial dengan menyatakan Biro Siasatan Jenayah dan Peronda Negeri berada di lokasi kejadian.
Hennepin Healthcare, yang mengendalikan beberapa hospital di kawasan Minneapolis, dilaporkan berkata pihaknya sedang merawat mangsa insiden tembakan itu.
Peguam Negara AS Pam Bondi turut mengesahkan bahawa ejen persekutuan berada di lokasi kejadian.
“Doa kami bersama semua yang terlibat dalam tragedi ini. Pasukan kami akan memberikan maklumat terkini sebaik sahaja kami menerimanya,” katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial