SHAH ALAM, 28 Ogos (Bernama) -- Syarikat atau industri digalakkan mengadaptasi teknologi baharu bagi menjimatkan penggunaan air susulan pelarasan tarif baharu bermula 1 Sept ini.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata antara yang boleh diteroka adalah penggunaan air dikitar semula berbanding menggunakan potable water atau air boleh digunakan secara terus.
Beliau berkata pihaknya yakin tidak semua industri atau syarikat terkesan dengan impak tarif baharu tersebut kerana tidak semua pemain industri menggunakan air dengan jumlah yang tinggi.
“Bagi syarikat yang memerlukan penggunaan air yang tinggi, kami menggalakkan menggunakan teknologi baharu supaya penjimatan air itu dapat dicapai.
“Saya rasa mereka boleh mengguna pakai kaedah yang digunakan oleh Data Centre… mereka tidak guna potable water kerana untuk beroperasi tidak semestinya perlukan air hingga tahap boleh diminum terus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2025 (SIBS 2025) di sini hari ini.
Pada 1 Ogos lepas, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan kerajaan negeri akan menguatkuasakan pelarasan tarif air baharu di Selangor, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dan garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Menurut Amirudin, pelarasan itu melibatkan lebih 2.7 juta akaun pengguna domestik dan komersial, antara lain bertujuan mengukuhkan perkhidmatan bekalan air terawat serta meningkatkan kecekapan operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), terutamanya dalam menghadapi cabaran perubahan cuaca dan pertumbuhan populasi.
Ng turut menyarankan industri atau syarikat berkenaan menggunakan air yang digunakan semula dengan kerjasama daripada Indah Water Konsortium (IWK) dan Air Selangor.
Beliau berkata sebagaimana dibekalkan kepada Data Centre, pihaknya juga sedia berbuat demikian kepada industri atau mana-mana syarikat kerana kos dikenakan lebih rendah.
“Jadi, ada pelbagai cara untuk membantu industri dan syarikat ini meringankan beban mereka seperti menggunakan air digunakan semula yang kosnya lebih rendah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial