KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Dr Kamarul Zaman Yusoff perlu membayar ganti rugi RM400,000 kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang menang kes saman fitnah terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu pada Mei lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Avinder Singh Gill membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Kamarul Zaman untuk menggantung perintah pembayaran ganti rugi RM400,000 setelah mendapati tiada keadaan istimewa dalam permohonan terbabit.
Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Hannah berkata mahkamah menolak permohonan Kamarul Zaman dengan kos RM2,500.
“Dengan keputusan hari ini, dia perlu membayar ganti rugi berkenaan," katanya kepada media selepas prosiding di dalam kamar.
Sementara itu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Kamarul Zaman berkata mahkamah telah membuat penilaian maksimum dan mendapati tidak wujud keadaan istimewa untuk melayakkan penggantungan diberikan kepada anak guamnya.
"Sehubungan dengan itu, penghakiman oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini (yang memerintahkan pembayaran ganti rugi RM400,000) akan terus berkuat kuasa.
"Anak guam saya perlu membayar ganti rugi berkenaan kerana prosiding kebankrapan telah difailkan terhadapnya. Kami juga telah memfailkan rayuan pada awal Jun lepas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini," kata peguam itu.
Pada 15 Ogos lepas, Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan telah memfailkan notis kebankrapan terhadap Kamarul Zaman selepas dia gagal membayar ganti rugi berkenaan.
Pada 30 Mei lepas, Hakim Datuk Aliza Sulaiman memerintahkan Kamarul Zaman membayar ganti rugi RM400,000 itu selepas membenarkan tuntutan saman fitnah Hannah berikutan kenyataan fitnah yang dibuat defendan lapan tahun lepas.
Hakim Aliza dalam keputusannya antara lain berkata mahkamah berpuas hati bahawa Hannah telah memenuhi beban bukti berdasarkan keseimbangan kebarangkalian bahawa penerbitan pertama dan kedua adalah fitnah terhadapnya.
Saman fitnah yang difailkan pada 2022 itu tercetus daripada dua hantaran Facebook oleh Kamarul Zaman antara 10 hingga 17 Mei 2017, yang mendakwa Hannah mempunyai agenda memurtadkan dan menggunakan platform politiknya untuk mempromosikan agama Kristian.
Kamarul Zaman juga merujuk kepada autobiografi Hannah bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey sebagai bukti kepada agenda berkenaan, serta mendakwa Hannah berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial