AM

Standard Minimum Kelajuan Internet Di Sekolah Akan Dibincang Bersama KPM - Teo

28/08/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menetapkan standard minimum kelajuan Internet di semua sekolah, termasuk di luar bandar bagi memastikan kelancaran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). 

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata perkara itu sedang diteliti berdasarkan standard kualiti perkhidmatan sedia ada di bawah Mandatory Standards for Quality of Service (MSQoS).

“Antara standard yang ditetapkan ialah purata kelengahan rangkaian tidak melebihi 100 milisaat (ms), purata kelajuan muat turun tidak kurang daripada 7.7 megabit per saat (Mbps) berkuat kuasa pada 1 April 2024 dan meningkat kepada 10 Mbps bermula pada 1 Jan 2025.

"Selain itu, kadar kehilangan pakej tidak melebihi 0.5 peratus, tahap kebolehaksesan perkhidmatan tidak kurang daripada 90 peratus, purata tempoh memuat turun laman sesawang tidak melebihi lima saat, serta masa mula main bagi penstriman video tidak melebihi enam saat,” katanya ketika menjawab soalan Senator Azahar Hassan di Dewan Negara hari ini.

 Azahar ingin tahu sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan standard minimum kelajuan Internet di semua sekolah bagi memastikan PdP berjalan lancar.

Teo turut memaklumkan projek peningkatan liputan Internet dan Wi-Fi di 17 Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) telah siap pada suku ketiga tahun ini termasuk di Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kerajaan juga katanya, telah mencapai kadar liputan Internet di kawasan berpenduduk sebanyak 98.82 peratus setakat 31 Julai lepas menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

"Capaian gentian optik telah tersedia di 4.47 juta premis, dengan 839 lokasi mendapat akses kepada Internet melalui teknologi satelit dan jalur lebar tanpa wayar (SSB-WBB). MCMC juga sedang merangka penyelesaian tambahan melalui JENDELA Fasa 2 bagi memperluas capaian ke kawasan luar bandar," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan