KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Malaysia terus menzahirkan komitmen tegas memerangi Islamofobia pada peringkat antarabangsa menerusi pelbagai saluran termasuk sumbangan kewangan kepada inisiatif agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin berkata kerajaan secara konsisten menyumbang USD50,000 setiap dua tahun kepada Tabung Amanah Sukarela Perikatan Tamadun-Tamadun PBB (UNAOC) bagi menyokong pelaksanaan program menentang Islamofobia melalui pendidikan, dialog dan penglibatan belia di peringkat antarabangsa.
“Sejak 2009, jumlah keseluruhan sumbangan Malaysia telah mencecah USD410,000. Bagi tempoh 2023–2024, dana tersebut membolehkan UNAOC membiayai tiga projek belia berimpak tinggi di Malawi, Indonesia serta Bosnia dan Herzegovina.
“Projek ini menekankan pemupukan toleransi antara agama, penangkisan stereotaip negatif terhadap Islam serta pemerkasaan belia sebagai pemimpin keamanan komuniti,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Ros Suryati Alang mengenai ketegasan Malaysia terhadap peningkatan Islamofobia di Dewan Negara hari ini.
Menurut beliau, antara kesan ketara sumbangan tersebut ialah penglibatan lebih 1,100 individu majoritinya belia dalam program pendidikan, kempen digital dan dialog rentas agama, pembangunan bahan latihan yang dimanfaatkan lebih 10,000 orang serta pembentukan rangkaian kerjasama antara komuniti Islam, Kristian dan Buddha selepas projek berakhir.
Beliau berkata Malaysia kekal lantang membawa isu Islamofobia ke platform antarabangsa seperti Perhimpunan Agung PBB, Majlis Hak Asasi Manusia dan mesyuarat-mesyuarat OIC selain menaja bersama beberapa resolusi berkaitan.
Jelasnya Malaysia turut bekerjasama dengan negara-negara sepemikiran seperti Iraq, Pakistan, Rusia dan Turkiye dalam kenyataan bersama bagi mengecam tindakan Islamofobia dan menggesa tindakan antarabangsa berasaskan hak asasi manusia sejagat.
“Malaysia juga menekankan bahawa Islamofobia merupakan bentuk baharu perkauman yang berkait dengan xenofobia, pemprofilan negatif serta stereotaip terhadap umat Islam,” katanya.
Dalam pada itu, katanya Malaysia juga aktif menyokong usaha OIC seperti penubuhan OIC Islamophobia Observatory di Jeddah, pengisytiharan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia dan pelantikan wakil khas PBB serta OIC untuk memerangi gejala itu.
Mohamad berkata pelantikan Prof Emeritus Datuk Dr Aishah Bidin ke Suruhanjaya Tetap Hak Asasi Manusia OIC (IPHRC) bagi penggal 2025-2028 membuktikan kepercayaan dunia Islam terhadap kredibiliti Malaysia dalam memperjuangkan hak asasi dan menentang diskriminasi ke atas umat Islam.
“Malaysia melalui Wisma Putra juga mengoptimumkan peranan Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Memerangi Keganasan (SEARCCT) sebagai institusi penting menentang ekstremisme ganas secara holistik dan berfokus,” katanya.
Beliau juga memaklumkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 turut akan mempromosikan nilai keterangkuman dan keharmonian antara agama serta budaya menerusi pelbagai inisiatif termasuk Dialog Antara Agama dan Budaya yang telah dianjurkan di Pulau Pinang pada November tahun lepas.
“Komitmen berterusan ini membuktikan Malaysia bukan sahaja serius menangani Islamofobia di luar sempadannya malah memperkukuh kedudukannya sebagai pemimpin dalam diplomasi kemanusiaan dan suara utama dunia Islam,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial