Oleh Noornasrin Salsabila Othman
KOTA BHARU, 27 Ogos (Bernama) -- Seorang pelukis muda dari Kampung Pulau Panjang di sini menggunakan kreativiti tersendiri dalam menzahirkan semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan iaitu dengan menghasilkan Jalur Gemilang daripada cantuman kain pelikat.
Muhammad Darwisy Mustafani, 24, berkata ilham itu lahir daripada tekadnya untuk menyemarakkan rasa cinta kepada negara sambil menyuntik nilai budaya tempatan dalam penghayatan erti kemerdekaan.
“Saya pilih kain pelikat kerana ia dekat dengan masyarakat kita, khususnya orang Melayu. Ia bukan sahaja simbol budaya tetapi juga cara untuk saya zahirkan rasa sayang kepada tanah air melalui kreativiti sendiri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Anak kelima daripada lapan beradik itu mengambil masa hampir dua minggu untuk menyiapkan bendera berukuran 1.2 meter x 0.8 meter menggunakan empat helai kain pelikat berwarna merah, putih, biru dan kuning.
“Pemilihan warna sangat penting kerana saya mahu hasil ini benar-benar menyerupai Jalur Gemilang asli. Jadi saya ambil masa untuk pastikan tona merah, biru dan putih yang dipilih hampir sama,” katanya.
Siswazah Kejuruteraan Seni Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata selepas berjaya mendapatkan kain pelikat, beliau memotong dan mencantum mengikut saiz yang ditetapkan sebelum dijahit menjadi Jalur Gemilang.
“Antara bahagian paling rumit ialah pada bintang pecah 14. Saya ambil masa kira-kira dua hari untuk menyiapkan bahagian ini kerana penjuru dan saiznya mesti sekata.
"Ada ketika saya hampir putus asa tetapi saya tekad untuk teruskan hingga siap,” katanya yang mahu menyimpan bendera itu sebagai koleksi peribadi.
Lebih istimewa, Darwisy turut melukis figura Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada bendera berkenaan sebagai simbolik kepada laungan keramat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
“Saya melukis figura Tunku Abdul Rahman yang sedang mengangkat tangan melaungkan kemerdekaan dengan cat akrilik. Saya mahu ia kelihatan ‘hidup’, sebagai simbol negara bebas daripada penjajah,” katanya.
Darwisy berharap karya unik itu mampu memberi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih menghargai kemerdekaan, selain berani mengekspresikan kecintaan terhadap negara dengan cara tersendiri.
Mengimbas perjalanan seninya, beliau berkata bakat melukis sudah sebati dalam dirinya sejak di bangku sekolah dan menjadi sumber rezeki selepas menamatkan pengajian.
“Pada awalnya saya bekerja sebagai pelukis di sebuah syarikat swasta di ibu kota tetapi berhenti pada Jun tahun lepas. Karier seni saya tidak terhenti di situ malah saya terus berkarya di negeri kelahiran sendiri,” katanya.
Tampil dengan keunikan lukisan di atas kain songket, medium yang jarang digunakan di Malaysia, beliau pernah menghasilkan potret Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di atas songket yang dipamerkan di Istana Negara pada Oktober tahun lepas.
Setakat ini, lebih 50 lukisan songket pelbagai motif telah dihasilkan dengan harga bermula RM700 hingga RM15,000, bergantung kepada kerumitan serta jenis songket seperti tenun tangan, tenun kapas dan tenun sutera.
“Pelanggan saya terdiri daripada orang awam, kenamaan dan kerabat diraja. Saya juga pernah menghasilkan lukisan bunga rasmi negeri Selangor, Bunga Tanjung untuk Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dengan bertatahkan batu Swarovski,” katanya yang turut berkongsi hasil seninya di akaun TikTok “wisyilukis”.
Dalam masa terdekat, beliau akan menghasilkan potret songket untuk Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail,.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial