KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Saling bergantungan secara berdaulat mesti dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan dan saling menghormati supaya sesebuah negara kekal terbuka kepada dunia tanpa menjejaskan maruahnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata saling bergantung tidak dapat dielakkan dalam dunia yang saling berhubungan hari ini, tetapi negara-negara kecil dan membangun mesti dibenarkan membuat keputusan sendiri mengenai rakan kongsi yang mereka pilih, dan bukannya menerima hubungan yang dipaksakan oleh kuasa luar.”
“Ini bukan seruan untuk menjauh daripada globalisasi. Sebaliknya, kita sedang membinanya semula agar negara-negara berdiri lebih teguh di atas kaki sendiri walaupun berdiri bersama-sama,” katanya dalam ucaptama khas pada Kuala Lumpur Roundtable On Asia-Pacific Regional Cooperation, anjuran Boao Forum for Asia di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong serta Pengerusi Boao Forum for Asia Ban Ki-Moon.
Anwar menekankan bahawa saling bergantung secara berdaulat mengekalkan keterbukaan sambil melindungi maruah, serta menolak kebergantungan atau pemisahan yang dipaksakan.
Beliau berkata malangnya, kebergantungan kini telah digunakan sebagai senjata oleh ekonomi terbesar dunia, bukannya sebagai alat memudahkan kerjasama.
“Saluran tenaga, laluan perkapalan dan rantaian bekalan semikonduktor telah menjadi instrumen pengaruh tidak adil. Sistem pembayaran dan aliran modal digunakan sebagai alat tekanan.
“Hasilnya ialah ketidaktentuan yang meluas dan rasa rapuh yang jelas. Inilah realiti baharu,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa pengejaran perdagangan tanpa had yang menimbulkan gangguan ekonomi, daripada tarif hari pembebasan hingga sekatan eksport, turut memberi implikasi besar kepada keselamatan dan geopolitik.
Anwar berkata pengejaran perdagangan yang tidak terkawal, yang menimbulkan gangguan ekonomi – daripada tarif sempena Hari Kemerdekaan hingga sekatan eksport – juga akan memberi implikasi mendalam terhadap keselamatan dan geopolitik.
“Namun sejarah menunjukkan apabila negara bersaing membina tembok, kemakmuran merosot dan ketidakstabilan merebak. Sebab itu kita menekankan saling bergantung secara berdaulat,” katanya.
Anwar berkata sistem perdagangan global kini menghadapi tekanan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), yang pernah menjadi penjaga peraturan, kini hampir lumpuh.
Beliau menegaskan bahawa ekonomi terbesar dunia kini bukan lagi penjaga sistem, tetapi pengganggu sistem itu sendiri.
“Tarif berubah-ubah dengan mendadak. Kawalan eksport dikenakan dan ditarik balik tanpa amaran. Sekatan kewangan melangkaui sasaran asalnya.
“Kita sedar bahawa dalam dunia yang berpecah hari ini, pengasingan ekonomi seperti yang dicadangkan Joseph Schumpeter tidak lagi sesuai dengan sifat geoekonomi yang kompleks dan saling bergantung,” katanya.
Perbincangan meja bulat yang dianjurkan bersama oleh Boao Forum for Asia (BFA) dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia ini adalah sebahagian daripada siri dialog serantau eksklusif BFA, menekankan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan komitmennya dalam memupuk kerjasama serantau.
Perbincangan ini menumpukan pada pengukuhan multilateralisme dan regionalisme terbuka, meningkatkan keterhubungan inklusif, rantaian bekalan yang tahan lasak, serta manfaat perjanjian perdagangan bebas seperti Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), Comprehensive and Progressive Agreement for the Trans-Pacific Partnership (CPTPP) dan Free Trade Area of the Asia-Pacific (FTAAP).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial