Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Ringgit terus mencatatkan penurunan untuk ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu menjelang data inflasi utama Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan.
Data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS akan diumumkan pada Jumaat ini, yang berkemungkinan lebih tinggi daripada jangkaan, kata penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.2335/2365 berbanding dolar AS daripada 4.2160/2210 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jika data inflasi AS pada Jumaat ini lebih tinggi daripada jangkaan, ia mungkin menjejaskan kemungkinan penurunan kadar faedah pada September.
“Oleh itu, ini boleh menyumbang kepada pengukuhan dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, katanya inflasi boleh meningkat di AS berikutan ia telah menaikkan tarif ke atas banyak import dari India kepada 50 peratus.
Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) naik sebanyak 0.38 peratus kepada 98.603 mata walaupun terdapat kebimbangan mengenai kebebasan Rizab Persekutuan AS.
“Dolar AS dilihat semakin mendapat perhatian apabila sentimen pasaran menjadi pesimis dan peniaga mencari perlindungan dalam mata wang tersebut,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.9058/9093 daripada 4.9087/9145 semasa ditutup pada Selasa, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8591/8611 daripada 2.8571/8607 dan rendah berbanding pound kepada 5.6890/6930 daripada 5.6827/6895.
Ia turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.
Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2843/2869 daripada 3.2786/2828 semalam, merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0330/0474 daripada 12.9707/9917 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.40/7.41 daripada 7.38/7.40 sebelum ini.
Ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 258.6/258.9 daripada 258.6/259.0 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial