KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 11,864 individu yang dipercayai terlibat dengan 31,949 kes penipuan membabitkan nilai kerugian RM1.5 bilion sepanjang tahun lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tangkapan dilakukan hasil daripada hampir 10,000 operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
“Ini bukan kerja mudah, tanggungjawabnya berat, namun ia dilaksanakan dengan cemerlang oleh pasukan polis. Saya berdiri di sini untuk hormat keberanian anda dalam menjalankan tanggungjawab ini,” kata beliau pada majlis penutup Dialog Khas Polis III (PDRM Special Dialogue 3) di sini hari ini.
Beliau berkata kepakaran JSJK bukan sahaja melindungi ekonomi negara, malah meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan.
Saifuddin Nasution turut mengingatkan anggota dan pegawai polis supaya terus meningkatkan keupayaan dan kompetensi sebagai agensi penguatkuasaan utama negara, termasuk menguasai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha membanteras jenayah, khususnya jenayah siber.
“Pada masa sama, kementerian juga komited untuk memperkukuh pasukan polis melalui pemodenan infrastruktur, pengembangan kapasiti serta sokongan rentas sektor,” kata beliau.
Mengulas mengenai forum dialog berkenaan, beliau berkata perbincangan menumpukan kepada isu keselamatan negara yang kini tidak lagi terbatas kepada sempadan fizikal, sebaliknya turut merangkumi perlindungan data, kedaulatan digital dan kesedaran siber kolektif.
“Antara mesej utama yang diketengahkan adalah keperluan memperkukuh kerjasama antara agensi dalam menghadapi jenayah siber yang semakin kompleks.
“Penekanan turut diberikan kepada peranan JSJK yang berada di barisan hadapan memerangi jenayah komersial. Kepakaran mereka bukan sahaja melindungi ekonomi negara, malah meningkatkan keyakinan serta kepercayaan masyarakat,” kata beliau.
Dialog anjuran JSJK dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Alpine Integrated Solutions dan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad itu menghimpunkan agensi keselamatan, pakar teknologi, ahli akademik serta sektor swasta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial