AM

Pelajar Jatuh: Siasatan Dalaman KPM Ambil Kira Aspek Pergaduhan, Buli

26/08/2025 08:09 PM

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil kira semua aspek termasuk kemungkinan insiden pergaduhan, gejala buli atau unsur lain dalam siasatan dalaman susulan kejadian seorang pelajar tingkatan tiga yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata pihaknya juga sedia memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi melengkapkan siasatan menyeluruh.

"KPM percaya pihak polis akan dapat melaksanakan tanggungjawab dan tugas dengan baik dan akhirnya akan memberikan laporan siasatan yang terperinci berhubung dengan kejadian yang berlaku ini," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Mohd Azam berkata KPM juga akan melihat sama ada pihak sekolah mematuhi Garis Panduan Sekolah Selamat, berkaitan dengan pengendalian kes buli dan juga gangguan seksual. 

Mengulas dakwaan kelewatan pihak sekolah memaklumkan insiden berkenaan kepada penjaga murid terbabit, beliau menjelaskan dalam keadaan kecemasan guru memberikan keutamaan kepada keselamatan pelajar untuk dibawa ke hospital dengan segera.

"Difahamkan, pada 3.20 pagi ambulans tiba di sekolah dan 20 minit kemudian murid terbabit sampai ke Hospital Sabak Bernam. Jadi, (ketika) di hospital itu barulah dimaklumkan kepada bapa pelajar.

"Mungkin bagi satu pihak tindakan itu ialah satu kelewatan, namun bagi pihak lain, langkah itu ialah satu kebijaksanaan. Dalam garis panduan kita, Sekolah Selamat itu, kita berikan tumpuan untuk keselamatan dahulu," katanya.

Mohd Azam berkata pelajar yang sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh itu, kini ditidurkan.

"Saya ada melawat pelajar berkenaan dan daripada taklimat yang diberikan oleh pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh yang mengendalikan kes ini, fokus setakat ini adalah pada kecederaan kepala dan juga kecederaan otak pelajar," katanya.

Beliau berkata Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah berkenaan telah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.

"Penempatan sementara Pengetua, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden ini adalah untuk mengelakkan mereka daripada tekanan emosi berikutan dengan kejadian yang berlaku.

"Langkah ini dapat meleraikan sedikit tekanan seterusnya memudahkan siasatan dalaman dilakukan oleh KPM berhubung dengan pematuhan garis panduan, prosedur berkaitan dengan Sekolah Selamat dan urusan pengendalian buli serta gangguan seksual yang ada pada peringkat kementerian," katanya.

Mohd Azam berkata pihak sekolah juga telah diarahkan mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat untuk mendoakan supaya pelajar berkenaan diberi perlindungan, keselamatan dan kesembuhan. 

"Kementerian merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa murid atas kejadian yang telah berlaku dan saya bagi seluruh warga KPM mendoakan agar murid ini diberi kesembuhan dan diselamatkan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan pelajar terbabit berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan