PETALING JAYA, 26 Ogos (Bernama) -- CelcomDigi Bhd melabur sejumlah RM4.6 bilion dalam perbelanjaan modal (capex) setakat separuh pertama tahun ini, daripada komitmen pelaburan keseluruhan RM10 bilion bagi tempoh lima tahun pertama selepas penggabungan syarikat, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Idham Nawawi.
Beliau berkata jumlah pelaburan capex itu merangkumi pelaksanaan latihan integrasi dan pemodenan rangkaian yang telah berlangsung sepanjang dua setengah tahun lepas sejak penggabungan Celcom dan Digi.
Hasil daripada pelaburan ini telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekosistem digital dan telekomunikasi negara, menerusi pembinaan 18,000 tapak rangkaian, 10,000 pengedar serta hampir 400 kedai berjenama di seluruh negara, kata beliau.
“Kami akan mengintegrasikan kesemua sistem teknologi maklumat (IT) kami. Setakat ini, 84 peratus rangkaian telah dipermodenkan dan kami sedang melaksanakan proses penyatuan serta integrasi sistem IT,” katanya kepada media selepas pelancaran inisiatif utama CelcomDigi, CD:NXT di hab CelcomDigi di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Idham berkata CD:NXT adalah inisiatif jangka panjang syarikat itu bagi tempoh lapan hingga 10 untuk melahirkan lebih 5,000 bakat muda digital dengan matlamat memberi landasan kepada anak muda Malaysia untuk menjadi pemimpin digital yang berkemampuan.
"Apa yang kami tawarkan bukan sekadar latihan kecerdasan buatan (AI) yang biasa, atau sesuatu yang dapat dipelajari daripada buku mahupun di bilik darjah, tetapi pengalaman dan pendedahan praktikal dalam satu industri yang amat dinamik.
"Kami anggarkan inisiatif ini bernilai lebih daripada RM100 juta, dengan kesan pengganda ekonomi (economic multiplier effect) yang jauh lebih besar dan lebih bermakna kepada ekonomi digital negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial