GEORGE TOWN, 26 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini menahan seorang pengarah jabatan kerajaan kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dengan mengesyorkan syarikat suaminya bagi pembekalan makanan dan minuman untuk sebuah program pada 2017.
Menurut sumber, suspek wanita yang berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 11 pagi tadi di Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini ketika hadir memberi keterangan.
"Berdasarkan siasatan awal, suspek sebelum ini dipercayai telah menyalahgunakan jawatan ketika berkhidmat sebagai pegawai di Seberang Perai Utara dekat sini.
"Suspek dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan syarikat milik suaminya melibatkan pembekalan makanan serta minuman bernilai hampir RM4,000," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada Khamis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial