GEORGE TOWN, 26 Ogos (Bernama) -- Universiti Putra Malaysia (UPM) sedang membangunkan perisian kecerdasan buatan (AI) yang mampu mentafsir bahasa komunikasi generasi muda, khususnya penggunaan singkatan atau istilah pendek.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM Prof Dr Hang Tuah Baharudin berkata pembangunan berkenaan dilakukan berikutan golongan muda lebih cenderung berkomunikasi menggunakan bahasa moden dan istilah pendek.
Justeru, beliau berkata langkah itu dilihat sebagai antara usaha pihak universiti untuk memastikan kesinambungan penggunaan bahasa yang betul, selain memelihara keasliannya agar tidak hilang dalam arus ringkasan komunikasi digital.
“Bahasa sentiasa berubah seiring masa dan kewujudan media sosial telah mempercepat perubahan itu sehingga ramai terutama generasi muda lebih memilih bahasa singkatan kerana kehidupan kini serba pantas dan ini merupakan satu trend baharu dalam menyampaikan maklumat itu.
“Kita ada pakar linguistik yang meneliti cara mengolah dan mentafsir bahasa agar ia dapat digunakan dengan betul, contohnya, seorang cucu menulis mesej singkatan kepada datuk atau nenek mereka. AI ini boleh menterjemah maksud sebenar mesej itu ke dalam bahasa yang lebih mudah difahami,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Bahasa, Kesusasteraan dan Budaya Malaysia ke-13 (MICOLLAC 2025) di sini hari ini yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai.
Hang Tuah berkata usaha pembangunan perisian itu masih di peringkat pengumpulan data, memandangkan terdapat puluhan ribu istilah moden yang digunakan anak muda masa kini.
Beliau berkata inisiatif itu juga adalah langkah memanfaatkan penggunaan AI sebagai alat bantu yang menyokong komunikasi dan bukannya mengambil alih keupayaan berfikir manusia.
“Contohnya singkatan seperti BLH (boleh), IDK (I don’t know), IMO (in my opinion), LOL (laugh out loud) atau G2G (got to go). Semua istilah ini jika tidak difahami boleh menimbulkan kekeliruan dan apabila kita sudah mempunyai pangkalan data yang lengkap, AI akan mampu menterjemah bahasa mudah bahasa santai atau singkatan kepada bentuk komunikasi yang lebih formal dan jelas,” katanya.
Terdahulu, persidangan selama tiga hari bermula hari ini itu dianjurkan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM dengan dihadiri 150 peserta dari 12 negara.
Bertemakan "Bridging Words and Worlds: Dynamic Dialogues in Languages, Literatures and Cultures", persidangan itu menampilkan forum ilmiah bagi membincangkan isu dan kajian terkini dalam bidang berkaitan serta membangunkan jaringan kolaboratif di peringkat nasional dan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial