KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures (MyCreative) akan menganjurkan RIUH Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 selama 30 jam tanpa henti bermula 12 tengah hari 30 Ogos hingga 6 petang 31 Ogos di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru, Putrajaya.
Kumpulan MyCreative Ventures dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu yang dianjurkan sebagai acara sisipan sambutan Hari Kebangsaan 2025 bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara melalui seni, budaya dan kreativiti.
“Acara ini turut menjadi platform buat penggiat industri kreatif dan usahawan tempatan untuk menonjolkan bakat, membuka peluang perniagaan serta merapatkan hubungan komuniti,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan MyCreative Ventures memaklumkan acara ini dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti istimewa ditampilkan termasuk persembahan muzik secara langsung oleh artis tanah air antaranya Yuna, Misha Omar, Pop Shuvit, Aliff Satar & The Locos, IamNeeta dan Datuk Zainalabidin.
"Selain itu, lebih 80 vendor akan turut serta dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman, pakaian, aksesori dan produk kecantikan.
"Pengunjung juga berpeluang menyertai bengkel kreatif percuma serta aktiviti mesra keluarga sepanjang 30 jam acara ini berlangsung,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan MyCreative Ventures memaklumkan kemuncak sambutan pada malam Ambang Merdeka akan dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api yang dinanti-nantikan pengunjung.
“Dengan gabungan seni kreatif, muzik dan komuniti, RIUH Merdeka bukan sekadar hiburan tetapi wadah untuk meraikan semangat kemerdekaan bersama rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Maklumat lanjut mengenai acara itu boleh diperoleh melalui media sosial Instagram dan Facebook @riuhinthecity serta @mycreativeventures.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial