AM

Dua Inisiatif Perkukuh Strategi Pengurusan Perikanan Negara Secara Bersepadu

26/08/2025 12:52 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Dua inisiatif utama yang dilancarkan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) hari ini memperkukuh pengurusan sumber perikanan negara secara bersepadu, terancang dan berkesan.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata Laporan Kajian Blueprint Large Marine Managed Area (MyMPA) serta Malaysia Fisheries Resource System (MyFiRSt) selaras dengan komitmen negara untuk mencapai sasaran 10 peratus kawasan perlindungan marin (MPA) menjelang 2030 daripada 5.54 peratus setakat ini.

“Cabaran terbesar ialah memastikan semua pihak benar-benar memahami bahawa MPA bukan bermakna mengambil hak sesiapa tetapi untuk mengekalkan sumber marin,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Seminar Konservasi Sumber Perikanan 2025 di sini hari ini.

Adnan berkata usaha itu juga selaras dengan komitmen negara di bawah Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Beliau berkata MyMPA dibangunkan hasil kolaborasi strategik antara DOF dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai panduan kepada industri yang berasaskan bukti saintifik bagi mengenal pasti kawasan berpotensi sebagai MPA dan Tindakan Konservasi Berbasis Kawasan yang Efektif Lainnya (OECM).

“Pelaksanaan MyMPA ini akan memperkukuh jaringan perlindungan marin negara, di samping memperkayakan biodiversiti dan menyokong keterjaminan makanan melalui stok sumber yang lebih lestari,” katanya.

Adnan berkata MyFiRSt adalah inisiatif pendigitalan data kebangsaan oleh DOF untuk mengumpul, menyelaras dan berkongsi maklumat biodiversiti marin dan perikanan darat, yang merangkumi data kawasan MPA, pengurusan perikanan, laporan orang awam serta lapisan data spatial untuk pemetaan dan analitik.

Beliau berkata melalui MyFiRSt, data perikanan dapat diurus secara Iebih standard, telus dan terkawal, sekali gus menyokong pengurusan berasaskan sains, memperkukuh dasar serta meningkatkan keberkesanan tindakan pemuliharaan.

“Kedua-dua inisiatif ini melengkapi bagi memastikan tadbir urus perikanan lebih tersusun dan berkesan demi manfaat komuniti pesisir, nelayan serta kelestarian sumber perikanan negara,” katanya.

Seminar Konservasi Sumber Perikanan 2025 itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dengan tema ‘Ke arah Kelestarian Pengurusan Sumber Perikanan Negara’.

Penganjuran itu sejajar dengan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 yang menggariskan hala tuju pemuliharaan biodiversiti marin negara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan