Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan di luar Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi.
Menerusi hantaran di platform X, Dar berkata kedua-dua pihak menzahirkan solidariti teguh terhadap Palestin dan kebimbangan mendalam mengenai situasi di Gaza.
“Dengan menzahirkan solidariti teguh terhadap Palestin dan kebimbangan mendalam mengenai situasi di Gaza, kami menekankan keperluan segera untuk memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan dan gencatan senjata kekal bagi membuka jalan ke arah keamanan yang berkekalan,” katanya menerusi akaun rasmi X beliau @MIshaqDar50.
Beliau turut mengimbas kembali kejayaan Malaysia menganjurkan mesyuarat menteri-menteri Forum Serantau ASEAN (ARF) di Kuala Lumpur bulan lepas, serta libat urus beliau dengan kepimpinan Malaysia.
“Kami mengesahkan semula komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan persaudaraan yang erat melalui pertukaran lawatan peringkat tinggi, memperluas hubungan perdagangan dan ekonomi, serta menggalakkan hubungan antara rakyat,” katanya.
Mesyuarat tergempar OIC itu, yang diadakan sebagai respons kepada operasi ketenteraan Israel yang berterusan di Gaza, bagi menyelaras pendirian dan tindakan negara anggota terhadap krisis berkenaan.
Pertubuhan itu, yang mewakili 57 negara majoriti Islam, secara tradisinya meletakkan dirinya sebagai pembela hak Palestin dan Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial