Oleh Christine Lim
ARITA (Jepun), 25 Ogos (Bernama) -- Permintaan terhadap tembikar tradisional Jepun dengan reka bentuk estetik dijangka terus berkembang di Malaysia dan pasaran luar negara lain, kata Shobido-Honten, syarikat perdagangan tembikar yang berpusat di bandar Arita wilayah Saga.
Pengarah syarikat itu, Asa Kamochi berkata permintaan terhadap produk tembikar elegan yang menampilkan reka bentuk tradisional Jepun masih kekal kukuh.
“Tembikar Arita, yang dikenali sebagai tembikar pertama dihasilkan di Jepun dengan sejarah lebih 400 tahun sejak era Edo, popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan kini kami mengeksport patung tembikar berbentuk kucing dan beruang ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama dalam satu temu bual semasa lawatan ke kedai tembikar Shobido-Honten di Arita, yang dianjurkan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) wilayah Saga dan Jetro Kuala Lumpur.
Produk-produk Shobido-Honten boleh didapati di dua kedai fizikalnya di Arita dan juga secara dalam talian.
Di pasaran luar negara katanya, Shobido-Honten juga mengeksport ke China dan Taiwan, yang merupakan dua pasaran besar. Ia turut mengeksport ke Eropah dan Amerika Syarikat.
Reka bentuk tembikar gaya Koimari, yang dicat biru dengan salutan kaca nipis menghasilkan kemasan berkilat dan dihiasi motif berwarna emas dan merah, menurut Kamochi merupakan produk kegemaran dalam kalangan pelancong luar negara.
Beliau menegaskan bahawa walaupun terdapat permintaan terhadap reka bentuk yang selaras dengan piawaian global kontemporari – dan beberapa jenama barangan Arita telah berjaya mengadaptasi gaya sedemikian baik di Jepun mahupun di luar negara – reka bentuk tradisional seperti gaya Koimari, juga terus menarik minat dalam kalangan pelancong luar negara.
Reka bentuk tembikar Arita, tambah Kamochi berasal dari Korea dan China pada awal era Edo abad ke-17, yang kemudiannya dikembangkan menjadi corak berasaskan Arita oleh tukang-tukang tempatan.
“Tembikar Arita dengan mutu pertukangan yang tinggi dan reka bentuk mewah pernah dijadikan hadiah kepada shogun (samurai berpangkat tinggi) dan juga kepada kerabat diraja Jepun,” katanya.
Sehubungan itu, Arita berkembang menjadi salah satu pengeluar tembikar terkemuka dunia.
Shobido-Honten, kata Kamochi bekerjasama dengan pengeluar-pengeluar tembikar tempatan yang berpusat di Arita, termasuklah tukang berkemahiran tinggi, bagi membekalkan produk tembikar.
“Disebabkan bilangan pembuat tembikar yang semakin berkurangan, ia mengambil masa yang lebih lama untuk memenuhi permintaan,” katanya.
Harga produk tembikar Shobido-Honten bermula daripada 2,640 yen (100 yen = RM2.88) bagi seunit gaya Nabeshima dengan reka bentuk berprestij dan bergaya, sehingga 6,600 yen bagi seunit gaya Koimari dengan hiasan mewah berwarna emas dan merah.
Selain itu, ia turut menawarkan rangkaian produk-produk tembikar yang pelbagai dan meluas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial