KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Perbadanan Kota Buku (PKB) hari ini memperluas inisiatif pendidikan lestari berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan menyasarkan pengedaran dua juta buku tulis kitar semula menjelang sesi persekolahan pada Januari 2026.
Projek "Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari" itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh di sini hari ini, sebagai kesinambungan daripada kejayaan fasa pertama projek pada tahun lepas.
“Tahun lepas kita berjaya mengedarkan sejuta buku tulis kitar semula, yang memberikan manfaat kepada lebih 100,000 murid dari 2,060 sekolah di sekitar Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Langkah ini bukan sahaja menyokong pendidikan lestari berasaskan ESG, malah turut membantu meringankan beban keluarga, khususnya mereka daripada kalangan B40. Dengan sasaran dua juta buku, lebih ramai murid akan menerima manfaat dan lebih banyak sekolah akan dilibatkan,” katanya dalam ucapan perasmian projek itu.
Wong turut merakamkan penghargaan kepada lebih 20 syarikat penaja yang telah memberikan sokongan terhadap projek terdahulu sekali gus menyeru agar lebih ramai pihak tampil untuk menjayakan fasa kedua projek berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKB Adibah Omar berkata projek berkenaan membuka peluang kerjasama yang erat antara sektor korporat dengan KPM bagi memperkukuh sokongan terhadap pendidikan pelajar B40.
“Ideanya adalah untuk mengajak rakan-rakan daripada pihak korporat untuk bersama-sama membantu KPM, memastikan tiada anak-anak B40 tercicir dalam pendidikan mereka,” katanya semasa sidang media.
Adibah berkata inisiatif itu mendapat sokongan daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), selain menarik penyertaan penaja dari Thailand.
Beliau berkata edaran fasa kedua itu akan diperluas ke negeri-negeri di utara seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak serta negeri di Pantai Timur termasuk Terengganu dan Kelantan.
Beliau berharap inisiatif kitar semula itu bukan sahaja diteruskan untuk buku tulis, malah diperluas kepada barangan sekali guna lain seperti kertas soalan, buku latihan, buku aktiviti dan pelbagai bahan pembelajaran selaras dengan usaha memupuk pendidikan lestari di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial