AM

Walau Di Pedalaman, Pos Hau Meriah Dengan Jalur Gemilang

25/08/2025 08:28 PM

GUA MUSANG, 25 Ogos (Bernama) -- Berada di pedalaman dengan jarak lebih 80 kilometer dari bandar bukan halangan buat komuniti Orang Asli Kampung Redip, Pos Hau, di sini untuk berkongsi semangat Hari Kebangsaan ke-68 menerusi kibaran Jalur Gemilang di setiap penjuru kampung. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Jumaat Arom berkata setiap kali tiba bulan Ogos, penduduk tidak ketinggalan berganding bahu menceriakan kampung mereka dengan bendera kebangsaan.

Beliau berkata usaha ini melibatkan semua penduduk tanpa mengira peringkat umur. 

"Selain dapat mencantikkan kampung, kami juga mahu mendidik generasi muda suku kaum Temiar agar menghargai hari kebanggaan negara walaupun tinggal jauh di pedalaman.

"Pemasangan Jalur Gemilang itu merupakan sebahagian daripada sambutan awal sebelum kemuncak pada malam 31 Ogos, yang kebiasaannya diraikan secara besar-besaran dengan jamuan rakyat serta pertunjukan bunga api," katanya kepada pemberita di Kampung Redip di sini hari ini.

Sementara itu, Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Suzi Semai, 31, berkata penduduk turut berpakat mengumpul dana hampir RM500 bagi membeli Jalur Gemilang, selain mencari buluh di hutan untuk dipacak di seluruh kampung.

“Hiasan Jalur Gemilang bukan sahaja di sepanjang jalan kampung malah di setiap rumah, dewan orang ramai dan Tabika Kemas. 

"Setiap tahun menjelang 31 Ogos, kita juga menganjurkan pertandingan koir kanak-kanak, karaoke dewasa dan pelbagai aktiviti sukan bertemakan Hari Kebangsaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan