PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama memeriahkan pelbagai program yang telah dijadualkan sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini, Fahmi berkata kesemua program berkenaan boleh diakses melalui laman sesawang Merdeka360 di www.merdeka360.my.
“Pada 30 Ogos ini akan diadakan program RIUH MERDEKA 2025 selama 30 jam di Tapak Parkir Monumen Alaf Baharu, Putrajaya. Kita boleh sama-sama raikan.
“Kita juga ada program Quran Hour di Masjid Negara, Kuala Lumpur yang akan saya hadir pada 30 Ogos. Insya-Allah PM (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan beri amanat perdana di MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia) pada Sabtu (30 Ogos). Ada pelbagai lagi program yang kita boleh teliti dalam kalendar acara melalui Merdeka360,” katanya.
Turut hadir pada perhimpunan bulanan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi juga yakin segala persiapan bagi sambutan Hari Kebangsaan 2025 bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" berjalan lancar dan pihak penganjur telah bersiap sedia untuk menerima kehadiran orang ramai bagi menyaksikan acara perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos ini.
“Saya mohon maaf kerana saya berhasrat untuk hadir acara raptai (penuh) pada 27 (Rabu) hingga 29 (Jumaat) Ogos tetapi pada 27 Ogos saya tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan rasmi. Insya-Allah 29 Ogos saya akan hadir saksikan seketika sebelum saya pergi Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan pada Rabu hingga Jumaat ini bermula 6 hingga 11 pagi, yang turut melibatkan penutupan jalan sepanjang sesi raptai dijalankan.
Jalan raya di sekitar kawasan 'core island', Putrajaya akan ditutup kepada kenderaan persendirian mulai 6 petang Jumaat sehingga tamat perbarisan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Selain itu, Fahmi menyatakan penghargaan terhadap sumbangan penajaan bagi program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) yang mencecah RM22 juta daripada 113 rakan strategik, berbanding hanya RM4.09 juta pada tahun lepas.
“Ini harus jadi pembakar semangat untuk pastikan HKHM 2025 kita dengan gah. Saya mohon bantuan daripada semua Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) untuk pastikan Komuniti MADANI mempergiat usaha mereka untuk menghasilkan kandungan termasuk persiapan menuju HKHM,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial